Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menegur tindakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang didakwa memberikan sambutan berlebihan kepada Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump semasa ketibaannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.
Dalam satu kenyataan hari ini, bekas perdana menteri itu berkata sambutan penuh kemeriahan dan simbolik itu menimbulkan persoalan sama ada Malaysia kini menilai maruah diplomatik berdasarkan status tetamu, bukannya prinsip kemanusiaan.
“Tindakan meraikan Trump secara berlebihan amat tidak wajar ketika rakyat Palestin sedang bermandi darah dan kebuluran di Gaza.
“Sambutan sedemikian memberi gambaran seolah-olah Malaysia teruja menyambut tokoh yang bersekongkol dengan rejim Zionis Israel yang melakukan jenayah genosid terhadap rakyat Palestin.
“Malah tindakan Perdana Menteri yang turut menari bersama Trump amat mengguris hati rakyat Malaysia yang bersimpati dengan penderitaan rakyat Palestin,” katanya dalam tulisan Facebook.

Sejurus selepas turun dari Air Force One semalam, Trump disambut dengan persembahan tarian ketika dia berjalan di atas permaidani merah. Dia kemudian dilihat ikut menari.
Anwar, yang berada di sana bersama Menteri Luar Negeri Mohamad Hasan, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, dan Duta Besar AS Edgard D Kagan untuk menyambut Trump, kelihatan gembira dengan reaksi presiden AS itu.
Anwar turut dilihat ikut serta bertepuk tangan mengiringi Trump.
Ini berlaku di tengah-tengah kecaman yang semakin meningkat terhadap ketibaan Trump untuk sidang kemuncak Asean di Kuala Lumpur, dengan ramai yang mengecam penglibatan Washington dalam pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin yang berterusan oleh Israel.
Mengulas lanjut, Muhyiddin menyifatkan tindakan itu bercanggah dengan pendirian tegas Malaysia terhadap kekejaman Israel yang sering dikecam perdana menteri sendiri di pentas antarabangsa.
“Trump ialah simbol keangkuhan dasar luar Amerika Syarikat yang melindungi kekejaman rejim Zionis Israel.
“Menyambut tokoh seperti ini dengan keghairahan melampau amat memalukan Malaysia,” katanya.






