Malaysia Oversight

Sehingga 1,711 produk M’sia ke AS dapat tarif lebih rendah dari 19 peratus

By MkiniBM in October 27, 2025 – Reading time 2 minute
Sehingga 1,711 produk M’sia ke AS dapat tarif lebih rendah dari 19 peratus


Sehingga 1,711 produk eksport Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) akan menikmati kadar tarif yang lebih rendah daripada 19 peratus di bawah Perjanjian Perdagangan Timbal Balas yang ditandatangani antara Malaysia dan AS semalam, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Dia berkata senarai itu termasuk minyak sawit, getah, koko serta beberapa komponen farmaseutikal dan peralatan aeroangkasa.

“Eksport ini secara keseluruhannya berjumlah kira-kira AS$5.2 bilion (AS$1 = RM4.221) daripada jumlah eksport kita ke AS, iaitu sebanyak 12 peratus daripada jumlah eksport kita,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, semalam.

Tengku Zafrul berkata kadar tarif yang lebih rendah itu akan berkuat kuasa dalam tempoh 60 hari selepas kedua-dua negara bertukar dokumen sebagai sebahagian daripada proses perundangan.

Menurut Kuala Lumpur dan Washington dalam pernyataan bersama semalam, AS telah mengenal pasti produk daripada senarai dalam Lampiran III Perintah Eksekutif 14346 bertarikh 5 Sept 2025, mengenai Potential Tariff Adjustments for Aligned Partners untuk mendapat kadar tarif timbal balas sifar peratus.  

Katanya, AS komited untuk mengekalkan tarif timbal balas sebanyak 19 peratus kali pertama digariskan dalam Perintah Eksekutif 14257 bertarikh 2 April 2025, yang telah dipinda, ke atas barangan dari Malaysia.

Ditanya sama ada Malaysia kecewa mengenai perkara itu, Tengku Zafrul berkata: “Tidak, kami tidak kecewa. Malah, kami berpuas hati kerana apa yang ditawarkan sebelum ini kekal untuk Malaysia. Apa yang kami gembira ialah kami tidak perlu ubah mana-mana perkara yang telah dipersetujui sebelum ini.

“Kami juga gembira kerana untuk garis tarif, kita berjaya mendapat lebih daripada apa yang telah dibincangkan sebelum ini,” katanya. 

Menurut Tengku Zafrul, perjanjian yang dimeterai semalam mengandungi perkara yang sama seperti yang telah dikongsikan sebelum ini oleh kementerian dan pemeteraian ini menandakan tamatnya rundingan yang dijalankan sebelum ini, menjadikan perjanjian tersebut sebagai rasmi.

“Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, perjanjian ini telah dipersetujui sebelum ini dan ini merupakan perjanjian rasmi yang telah dimuktamadkan secara bertulis.

“Malah, AS telah memberikan akses yang lebih baik berbanding sebelum ini serta beberapa komitmen untuk akses ke pasaran mereka. Oleh itu, apa yang diberikan kepada kita adalah lebih baik daripada apa yang telah dipersetujui secara lisan atau diumumkan sebelum ini,” katanya.

Ditanya sama ada dia yakin bahawa perjanjian ini merupakan “perjanjian muktamad” tanpa sebarang perubahan, Tengku Zafrul berkata: “Bagi kami, perjanjian adalah perjanjian dan kami berharap ia kekal begitu. Sudah tentu, jika ada perubahan, kami berharap, ia ke arah yang lebih baik.”

-Bernama



Source link