Malaysia Oversight

KPT anggap langkah UMS selaras semula tarikh konvokesyen wajar

By MkiniBM in October 26, 2025 – Reading time 2 minute
KPT anggap langkah UMS selaras semula tarikh konvokesyen wajar


Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyerahkan kepada budi bicara Universiti Malaysia Sabah (UMS) berhubung keputusan menyelaraskan semula tarikh majlis konvokesyen universiti itu bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri (PRN) yang dijadual pada 29 Nov ini.

Menterinya Zambry Abdul Kadir berkata langkah diambil oleh UMS itu merupakan keputusan wajar kerana ia melibatkan tarikh pengundian yang bertindih dengan hari konvokesyen universiti berkenaan.

“Biasanya pihak KPT tidak mencampuri urusan dari segi konvokesyen kerana mereka (universiti) yang menetapkan dan mereka mempunyai alasan kerana ia (konvokesyen) ada beberapa hari dan satu daripada hari itu jatuh pada hari pengundian.

“Jadi usaha dibuat oleh UMS ini kerana mereka tidak mahu nanti dituduh tidak memberi hak dan kebebasan kepada pengundi yang terdiri daripada mahasiswa, pensyarah dan sebagainya yang berada di UMS untuk mengundi pada pada hari berkenaan,” katanya.

Zambry berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Festival Puisi Dan Lagu Rakyat Antarabangsa (Pulara) 2025 di Lumut malam tadi.

Pada 18 Okt lalu dilaporkan konvokesyen UMS yang asalnya dijadualkan pada 29 Nov ini ditunda ke 30 Nov bagi memberikan laluan kepada PRN Sabah ke-17.

UMS dalam kenyataan memaklumkan keputusan tersebut diambil bagi menghormati dan memberi ruang kepada seluruh warga universiti terbabit, graduan serta masyarakat umum untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

Dalam perkembangan lain, Zambry berkata Malaysia sedang membangunkan satu kurikulum bahu dalam bidang kesihatan planet (planetary health) yang menghubungkan antara kesihatan manusia dan kesihatan planet.

Katanya ia menjadikan Malaysia negara pertama Asean mempelopori bidang itu yang akan diterajui oleh kumpulan Pelan Tindakan Kesihatan Planet Negara (PTKPN).

“Ini merupakan satu bidang baru yang dibangunkan. Beberapa hari yang lepas, kumpulan ini telah pun bersidang dan mereka akan mengemukakan satu cadangan besar kepada negara.

“Inilah penglibatan kita di peringkat KPT, ” katanya.

Pada 8 Okt lepas, Malaysia menerima pengiktirafan antarabangsa sempena Sidang Kemuncak Kesihatan Planet (PHAM) 2025 di Rotterdam menerusi PTKPN yang menggariskan hala tuju Malaysia ke arah kelestarian bumi dan masyarakat lebih sihat.

Bernama



Source link