Jabatan Imigresen Sabah mempertahankan keputusan menolak kemasukan pemberi maklumat Albert Tei ke negeri itu pada Rabu, sehari sebelum dia dijadualkan menghadiri sebutan kesnya di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu.
Pengarahnya Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata adalah menjadi tanggungjawab Tei untuk memaklumkan dan mengemukakan surat yang diperlukan kepada pegawai yang bertugas sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).
“Jabatan Imigresen Sabah tegas dengan pendirian dari awal menyatakan bahawa penama tidak ada memaklumkan dan menunjukkan bukti ada surat panggilan dari mahkamah bahawa penama akan masuk ke Sabah atas arahan mahkamah.
“Sebaliknya penama menyatakan masuk ke Sabah jumpa kawan,” katanya kepada Malaysiakini.
Sitti Saleha menjawab kenyataan peguam Tei, Mahajoth Singh awal hari ini, yang menegaskan bahawa jabatan itu telah dimaklumkan tentang kes mahkamah melalui surat yang dihantar oleh ahli perniagaan itu dan Jabatan Peguam Negara Sabah.
Mahajoth juga menyatakan bahawa anak guamnya telah memaklumkan pegawai yang bertugas di KKIA tentang kes mahkamahnya yang dijadualkan, menyangkal versi jabatan itu yang mendakwa Tei berkata dia ingin memasuki Sabah untuk “berjalan-jalan” dan berjuma rakan-rakannya.
Peguam Mahajoth Singh
Sitti Saleha menambah bahawa beban pembuktian terletak pada Tei dan ahli perniagaan itu akan dibenarkan masuk ke negeri ini jika dia mengemukakan surat itu.
Apabila ditanya tentang kenyataan Mahajoth tentang surat-surat yang dikatakan dihantar ke imigresen lebih awal, dia mempersoalkan tarikh dan kaedah dokumen tersebut dihantar.
“Ia mesti dilakukan secara rasmi. Jika (surat itu) ditunjukkan (semasa ketibaan) pada 23 Okt, subjek itu akan dibenarkan masuk.
“Ini tiada kaitan dengan surat yang dihantar ke Jabatan Imigresen Sabah. Subjek perlu menunjukkan surat itu kepada pegawai yang bertugas di pintu masuk,” tegas Sitti Saleha.
Tei menghadapi dua pertuduhan rasuah di mahkamah Kota Kinabalu, dengan dia dituduh menawarkan rasuah kepada penyandang Adun Tanjung Batu, Andi Suryady Bandy dan penyandang Adun Sindumin, Yusof Yacob.
Dilaporkan bahawa Tei tiba di KKIA kira-kira jam 3.30 petang pada hari Rabu untuk sebutan kesnya pada keesokan harinya, tetapi dia sebaliknya diberikan notis penolakan masuk yang didakwa di bawah arahan ketua menteri sementara Sabah, Hajiji Noor.
Menurut jabatan itu, Tei telah ditahan kerana dia masih mempunyai “notis amaran Sabah” yang aktif, dan dia hanya dibenarkan masuk ke Sabah jika dia dipanggil untuk menghadiri perbicaraan mahkamah.
“Walau bagaimanapun, apabila dia disoal siasat oleh pegawai yang bertugas, penumpang itu berkata niatnya untuk melawat Sabah hanyalah untuk ‘berjalan-jalan’ dan bertemu rakan-rakan,” katanya pada hari Rabu.
Ini merupakan kali kedua pihak berkuasa Sabah menyekat Tei daripada memasuki negeri ini.
Dia telah ditahan sebaik sahaja tiba di KKIA pada 22 September, juga untuk menghadiri kes mahkamahnya, dikatakan kerana sekatan daripada Pejabat Ketua Menteri.






