Beberapa gerakan masyarakat sivil menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengarahkan agensi-agensi persekutuan membantu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memperluaskan hak pengundian pos kepada ribuan rakyat Sabah yang berada di luar negeri menjelang pilihan raya negeri (PRN) pada 29 Nov ini.
Bersih, Engage, Rose, Tindak, Projek Sama, Suara Mahasiswa UMS serta beberapa organisasi berteraskan Sabah berpendapat, SPR memiliki undang-undang dan keupayaan operasi untuk meluaskan pelaksanaan undi pos kepada kumpulan lain tanpa perlu meminda mana-mana peruntukan sedia ada.
Mereka berhujah pengundian pos seharusnya diperluaskan serta-merta kepada pelajar Sabah yang menuntut di universiti awam di seluruh Malaysia, rakyat Sabah yang sedang dirawat di hospital atau tinggal di rumah kebajikan, serta individu yang terlibat secara langsung dalam pilihan raya seperti calon, ejen tempat mengundi, dan ejen pengiraan undi.
Kumpulan tersebut juga berkata Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat wajar bekerjasama dengan SPR untuk menyelaras pengagihan serta pengumpulan kertas undi bagi pengundi yang tidak dapat pulang ke kawasan masing-masing.
“Perluasan pengundian pos tidak memerlukan sebarang pindaan undang-undang. SPR dengan mudah boleh mengisytiharkan kategori baru bagi pengundi pos yang layak di bawah kuasanya seperti termaktub dalam Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003,” menurut kenyataan itu.
Tambah NGO terbabit, Perkara 115 Perlembagaan Persekutuan mewajibkan semua pihak berkuasa awam membantu SPR dalam melaksanakan tugasnya.
Gabungan itu turut mengkritik SPR kerana dianggap terus berdiam diri dan enggan bertindak terhadap gesaan berulang bagi memberi hak mengundi kepada pengundi luar negeri, sambil memberi amaran bahawa dasar sedia ada secara tidak langsung mendiskriminasi rakyat Sabah yang berpendapatan rendah.
“Rakyat Sabah di luar negara boleh mengundi melalui pos, tetapi pengundi dalam negara masih perlu membeli tiket penerbangan untuk pulang ke kawasan masing-masing.
“Ini mewujudkan jurang kelas antara mereka yang mampu mengundi dan mereka yang tidak mampu,” kata kumpulan berkenaan.
Mereka juga menyatakan, rekod kadar keluar mengundi di Sabah lebih rendah berbanding purata nasional, dan PRN akan datang berisiko mencatatkan antara kadar penyertaan pengundi terendah dalam sejarah negara.
Dalam PRU ke-15 lalu, kata NGO berkenaan, kadar keluar mengundi di peringkat nasional ialah 74.7 peratus, manakala di Sabah hanya 64.4 peratus, sekali gus menunjukkan jurang lebih daripada 10 mata peratusan.
Keadaan itu, kata mereka, mencerminkan masalah kronik pengasingan pengundi.
Mereka turut memberi amaran jika SPR dan kerajaan persekutuan gagal bertindak, kadar keluar mengundi boleh merosot di bawah 60 peratus dan ia berpotensi menjejaskan kesahihan kerajaan negeri yang bakal dibentuk.
“SPR mesti menghentikan pendirian dogmatik terhadap pengundian mengikut tempat kediaman dan menunjukkan komitmennya untuk memudahkan akses kepada proses pengundian,” tambah kenyataan itu.
Gabungan berkenaan juga menggesa semua parti politik yang akan bertanding dalam PRN nanti— termasuk Upko, PKR, PBS dan Warisan — supaya berikrar dalam manifesto masing-masing bahawa kerajaan negeri Sabah yang seterusnya akan menjadikan pengundian pos sebagai hak asas bagi semua pengundi Sabah, sama ada yang tinggal di Semenanjung Malaysia atau di luar negara.






