UAE Menguji Penggunaan Kecerdasan Buatan Untuk Membantu Penggubalan Undang-Undang
May 8, 2025
•
Nazrin
Tahukah anda bahawa salah satu negara yang dilihat sedang memanfaatkan penggunaan teknologi kecerdasan buatan secara mendalam ialah sebuah negara di Timur Tengah, iaitu Emiriyah Arab Bersatu (UAE)?
Ia telah dilaporkan baru-baru ini bahawa negara tersebut kini sedang menguji penggunaan teknologi pembelajaran mesin dan AI untuk membantu kerajaan negara tersebut untuk menggubal undang-undang pada kadar yang lebih pantas berbanding dengan kaedah tradisional.
UAE mempunyai Kementerian Kecerdasan Buatan, Ekonomi DIgital dan Bekerja Jarak Jauh (Ministry of State for Artificial Intelligence, Digital Economy and Remote Work Applications) yang bertanggungjawab untuk membangunkan dan menguji sistem AI ini. Sistem tersebut akan digunakan untuk mengimbas data daripada undang-undang sedia ada, kes-kes mahkamah dan perkhidmatan awam yang lain untuk membantu membina draf untuk undang-undang yang relevan pada hari ini.

Matlamat pertama pembinaan sistem AI untuk menggubal undang-undang ini ialah untuk mencipta satu pangkalan data perundangan yang kemudiannya boleh digunakan oleh sistem AI ini untuk mencadangkan penggubalan undang-undang baru. Jangkaan pihak kerajaan ialah undang-undang baru yang dicadangkan oleh AI ini boleh mencantas 70 peratus daripada masa yang diperlukan untuk menggubal dan memperkenalkan undang-undang sedia ada.
Untuk fasa awal, sistem AI ini akan diuji untuk keberkesanan dalam merangka teks perundangan menggunakan maklumat sedia ada. Ia kemudiannya akan diteliti oleh pihak kementerian untuk memastikan bahawa teks tersebut boleh digunakan sebagai undang-undang negara.
UAE merupakan salah satu daripada negara yang kini dilihat sedang membangunkan teknologi AI secara serius. Di sekolah-sekolah mereka, ia dilaporkan bahawa kursus penggunaan dan pembangunan AI akan diperkenalkan dari bangku sekolah tadika sehingga ke kolej untuk memastikan rakyat negara tersebut faham selok-belok penggunaan dan pembangunan teknologi AI.
Komen
Dengan menghantar komen, anda setuju dengan terma pengunaan AmanzMe.