Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin digesa supaya membantu pihak berkuasa bagi mengesan keberadaan menantunya Muhammad Adlan Berhan.
Naib Presiden Amanah Mahfuz Omar berkata adalah mustahil seorang bapa mentua, apatah lagi seorang bekas perdana menteri, tidak tahu lokasi menantunya.
“Diamnya Muhyiddin bukan tanda tidak tahu tetapi tanda mahu melindungi.
“Jika beliau benar-benar telus dan tidak bersalah, beliau sepatutnya tampil membantu siasatan, bukan bersembunyi di balik alasan politik.
“Rakyat sudah muak dengan pemimpin yang kononnya melaungkan integriti dan perjuangan Islam, tetapi bila terkena pada keluarga sendiri, terus tutup mulut dan tutup mata. Inilah wajah sebenar politik munafik bercakap soal moral, tapi berkomplot melindungi salah laku orang sendiri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dia berkata demikian sebagai mengulas usaha pihak berkuasa dalam mengesan keberadaan Muhammad Adlan yang dihendaki bagi tujuan siasatan SPRM.
Khamis lalu Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan pasport milik Muhammad Adlan telah dibatalkan.
Saifuddin berkata ia susulan permohonan dikemukakan SPRM untuk membatalkan pasport individu yang dikendaki itu.
Terdahulu ahli perniagaan yang menjadi buruan itu dilaporkan menikmati kehidupan mewah walaupun dalam pelarian.
New Straits Times melaporkan bahawa ia menerima beberapa gambar yang menunjukkan Muhammad Adlan bersama tokoh-tokoh ternama Asia Barat yang tidak dinamakan.
Akhbar berbahasa Inggeris itu juga mendakwa bahawa Muhammad Adlan — yang meninggalkan Malaysia pada tahun 2023 — telah melakukan perjalanan dari sebuah negara di Asia Barat yang tidak dinyatakan untuk bercuti, termasuk ke Thailand, dan dilaporkan bermain golf dan mengunjungi lapang sasar menembak.
Adlan dan peguamnya, Mansoor Saat kini dikehendaki berhubung dengan satu projek melibatkan penyelewengan dalam pendaftaran biometrik, pengambilan, dan penyimpanan data pekerja asing bagi sebuah kementerian.
Mahfuz berkata pihaknya mendesak agar pihak berkuasa meneruskan tindakan tanpa gentar, dan jika terbukti Muhyiddin menghalang siasatan atau menyembunyikan maklumat penting, beliau juga harus disiasat di bawah peruntukan undang-undang yang berkaitan.
Tegasnya, sudah tiba masanya rakyat melihat bahawa tiada siapa kebal di sisi undang-undang walau pun bekas Perdana Menteri.
“Bila kena orang lain, Muhyiddin lantang cakap soal integriti. Bila kena menantu sendiri terus hilang suara.”
“Jangan jadi wira di mimbar, tapi penakut bila depan SPRM. Islam tidak ajar lindungi salah keluarga, hanya politikus hipokrit yang buat begitu,” katanya.






