Malaysia Oversight

8 termasuk ahli perniagaan ditahan terkait insiden gaduh

By MkiniBM in October 25, 2025 – Reading time 2 minute
8 termasuk ahli perniagaan ditahan terkait insiden gaduh


Seorang ahli perniagaan bergelar ‘Datuk’ antara lapan individu ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kejadian pergaduhan seperti yang tular menerusi rakaman siaran langsung di media sosial semalam.

Ketua Polis Daerah Besut Supt Azamuddin Ahmad berkata semua lelaki berusia antara 21 hingga 40 tahun itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut.

Katanya mangsa yang berusia 36 tahun membuat laporan polis berhubung kejadian itu turut ditahan bagi membantu siasatan.

“Polis menerima laporan pada jam 1.32 pagi tadi berhubung kejadian dipercayai berlaku kira-kira 11 malam di hadapan sebuah rumah di Jertih.

“Berdasarkan laporan diterima, seorang lelaki mendakwa dipukul sekumpulan orang ketika membuat siaran langsung menggunakan telefon bimbit di hadapan rumah suspek.

“Semasa kejadian mangsa dikatakan datang ke rumah suspek untuk berbincang mengenai salah faham yang timbul antara mereka.

“Sebaik tiba di hadapan rumah suspek, mangsa enggan masuk ke kawasan rumah seperti yang diminta, menyebabkan berlaku pertengkaran dan kekecohan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Azamuddin berkata beberapa ahli keluarga suspek turut keluar dari rumah dan berlaku pergelutan antara mereka dengan pengadu.

Dia berkata dalam kejadian itu, telefon bimbit yang digunakan mangsa untuk membuat siaran langsung turut diambil oleh seorang daripada ahli keluarga suspek.

“Mangsa mengalami kecederaan termasuk lebam di belakang kepala, siku kanan dan kiri, jari kiri serta bahagian belakang badan akibat bergelut dan terjatuh,” katanya .

Dia juga memberitahu kenderaan mangsa turut didakwa mengalami kerosakan.

Azamuddin berkata semua suspek dibawa ke Mahkamah Kuala Terengganu untuk permohonan reman pagi ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 147 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan khianat.

Tambahnya, sebarang maklumat berkaitan suspek boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat kes Insp Mohamad Effie Ezral Mohd Izham di talian 09-6956222 sambungan 5913.

Semalam tular video dipercayai dirakam oleh mangsa dan isteri bersama anak mereka yang berada di dalam kereta sebelum kejadian dan kekecohan yang berlaku.

Antara individu yang terlibat dalam insiden itu dipercayai ahli perniagaan yang terbabit dalam urusan jual beli tanah.

Bernama



Source link