Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak dua permohonan untuk mengenepikan kes, yang difailkan secara berasingan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan kerajaan, terhadap seorang lelaki 29 tahun yang ingin mengisytiharkan dirinya sebagai Sikh dan bukan Islam.
Hakim Aliza Sulaiman menolak permohonan itu dalam prosiding atas talian hari ini, selepas mendapati mahkamah perlu memutuskan perkara itu berdasarkan merit kes, dan tidak membuat perintah berhubung kos.
Peguam plaintif, Rajesh Nagarajan mengesahkan perkara itu kepada Malaysiakini ketika dihubungi pagi ini.
Dia menambah mahkamah menetapkan 5 November untuk pengurusan kes.
Semasa perbicaraan permohonan pada 14 Oktober, MAIWP dan kerajaan berhujah terdapat saluran yang betul bagi individu yang ingin murtad dan kes sedemikian perlu didengar di Mahkamah Syariah, kerana ia mempunyai bidang kuasa untuk berbuat demikian, dan bukan difailkan serta didengar di mahkamah sivil.
Bagaimanapun, Rajesh membantah dengan berkata ia bukan kes seorang lelaki Muslim ingin murtad, tetapi pengisytiharan bahawa dia ialah seorang lelaki Sikh,memandangkan dia mengamalkan ajaran Sikh sepanjang hayatnya.
Permohonan itu difailkan oleh Shehzad Malik Sanwar Malik pada 2023, dalam usaha mendapatkan beberapa pengisytiharan daripada mahkamah, termasuk bahawa dia ialah seorang individu yang menganut dan mengamalkan ajaran Sikh secara sukarela sepanjang hayatnya, walaupun dilahirkan sebagai Muslim.
Dia juga memohon perintah mahkamah untuk mengisytiharkan nama sahnya ialah Bilawal Singh Bhutter dan meminda serta membetulkan status agamanya dalam rekod Jabatan Pendaftaran Negara sebagai “Sikh” dan bukannya “Islam”.
“Plaintif mengakui ajaran Sikh sebagai agamanya dan menegaskan bahawa dia dididik dengan kepercayaan dan doktrin ajaran Sikh.
“Plaintif bergantung pada haknya untuk menganut dan mengamalkan ajaran Sikh, yang merupakan hak berperlembagaan yang diberikan oleh Perkara 11 Perlembagaan, yang merupakan hak asasi manusia seperti yang dinyatakan dalam Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan pelbagai instrumen hak asasi manusia yang lain,” kata afidavit itu.
Dalam afidavit sokongannya, dia mendakwa bahawa ibunya ialah seorang Sikh sejak lahir yang kemudiannya memeluk Islam dan berkahwin dengan bapanya yang beragama Islam dari Pakistan pada 2 Ogos 1993.
Tetapi ibunya membesarkannya sebagai seorang Sikh dan dia terus dibesarkan sebagai Sikh oleh bapa saudaranya, selepas ibunya meninggal dunia pada 2017.
“Saya bukan seorang individu yang secara sukarela menganut dan mengamalkan agama Islam.”
Dia berkata dia beriman dengan kepercayaan dan doktrin ajaran Sikh, dan menganggap ajaran Sikh sebagai satu-satunya jalan menuju kesejahteraan rohani, ketenangan fikiran, dan kebahagiaan peribadi, dalam menekankan hasratnya untuk mengekalkan kepercayaan dan pegangannya terhadap ajaran Sikh.






