NEW YORK: Bintang pecut Amerika Syarikat dan pemenang pingat emas Olimpik tiga kali, Gabby Thomas, optimis untuk kembali menjalani latihan menjelang Disember ini selepas terpaksa berehat panjang akibat kecederaan Achilles yang memaksanya menarik diri daripada Kejohanan Dunia bulan lalu.
Thomas, yang terkenal dengan larian bertenaga dalam acara 200 meter, turut membantu Amerika Syarikat menggondol dua pingat emas dalam acara 4×100 meter dan 4×400 meter di Sukan Olimpik Paris.
Namun, beliau terpaksa melupakan aksi pameran di Tokyo selepas mengalami kecederaan sejak Mei lalu.
“Ini sebahagian daripada turun naik dunia sukan. Saya akan kembali berlatih menjelang musim depan, mungkin bermula Disember,” katanya.
Selain aktif di trek, Thomas kini giat mengembangkan karier di luar arena apabila memegang peranan sebagai penasihat dan pemilik bersama Athlos, platform yang bakal mengubah wajah sukan wanita di Amerika Syarikat.
Menariknya, Athlos dijangka memperkenalkan format liga baharu yang melibatkan beberapa pertemuan dalam satu musim bermula 2026, menggantikan model acara tahunan sebelum ini sejajar dengan peningkatan mendadak minat terhadap sukan wanita di peringkat global.
“Kami sedang mengetuai perubahan besar dalam trek dan padang, dan ia bermula dengan wanita. Saya rasa ini detik istimewa.
“Sukan wanita kini berada di titik perubahan penting, dan saya mahu atlet trek dan padang mengambil peluang ini untuk menjadi sebahagian daripada gelombang kebangkitan ini,” katanya. – AGENSI






