Pihak imigresen Sabah sekali lagi menghalang ahli perniagaan Albert Tei masuk ke negeri itu petang ini, sehari sebelum dia dijadual hadir di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu bagi sebutan kes jenayahnya.
Bagaimanapun, Tei dan Jabatan Imigresen Sabah memberikan kenyataan bercanggah mengenai insiden yang menyebabkan dia dihalang masuk.
Menurut Tei, dia tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) sekitar jam 3.30 petang untuk menghadiri perbicaraan kesnya esok pagi namun sebaliknya diserahkan Notis Larangan Masuk yang didakwa dikeluarkan atas arahan Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor.
Peguamnya, Mahajoth Singh mengecam tindakan pihak berkuasa itu dan menyifatkannya sebagai satu bentuk halangan terhadap keadilan.

“Hari ini, untuk kali kedua, anak guam saya, Albert Tei, telah dihalang dari memasuki Sabah walaupun beliau perlu menghadiri sebutan kes jenayahnya di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu esok pagi.
“Ini satu tindakan luar biasa dan tidak dapat dipertahankan.
“Bagaimana anak guam saya mahu membela diri di mahkamah jika secara fizikalnya dihalang dari memasuki negeri tempat mahkamah itu bersidang?
“Ini bukan sekadar salah guna pentadbiran; sebaliknya ia kelihatan seperti satu bentuk halangan sengaja terhadap perjalanan keadilan,” katanya pada satu kenyataan.

Mahajoth berkata dia telah diarahkan untuk memfailkan permohonan menghina mahkamah terhadap pihak yang bertanggungjawab menghalang anak guamnya hadir ke mahkamah.
Bagaimanapun, pihak imigresen menafikan dakwaan itu dan menjelaskan Tei dihalang kerana didakwa memberitahu pegawai bertugas tujuan kehadirannya ke Sabah untuk bersiar-siar dan bertemu rakan.
“Pax (penumpang) bernama Tei Jiann Cheing tiba di LTAKK sekitar jam 3.30 petang dari Kuala Lumpur menaiki penerbangan MH2614.
“Semakan sistem mendapati Notis Amaran Sabah (NAS) oleh Pihak Berkuasa Negeri Sabah masih aktif dan hanya membenarkan penumpang masuk ke negeri Sabah sekiranya ada panggilan mahkamah tujuan perbicaraan.

“Namun semasa disoal oleh pegawai bertugas, penumpang menyatakan tujuan ke Sabah adalah untuk berjalan-jalan dan bertemu kawan sahaja. Penumpang tiada mengemukakan sebarang dokumen berkaitan panggilan mahkamah kepada pegawai imigresen yang bertugas.
“Oleh yang demikian Pejabat Imigresen LTAKK telah mengeluarkan satu Notis Penolakan Masuk kepada penumpang disebabkan NAS masih aktif,” menurut kenyataan jabatan itu kepada Malaysiakini.
Untuk rekod, Tei berdepan dua pertuduhan rasuah di Mahkamah Kota Kinabalu atas dakwaan menawarkan rasuah kepada Timbalan Menteri Sabah Andi Suryady Bandy dan Adun Sindumin, Yusof Yacob.
Ini kali kedua pihak berkuasa Sabah menghalang Tei — yang sedang menghadapi dua tuduhan rasuah — masuk ke negeri itu.
Pada 22 September lalu, dia turut dihalang sebaik tiba di LTAKK untuk menghadiri perbicaraan kesnya, didakwa atas arahan dari Pejabat Ketua Menteri Sabah.
Namun, selepas itu Tei dibenarkan memasuki Sabah selama dua hari bagi menghadiri prosiding mahkamahnya.






