Amanah hari ini menyarankan agar pemimpin PAS yang mempertikaikan bantuan sekali beri (one-off) kerajaan bernilai RM100 untuk semua warganegara berusia 18 tahun dimanfaatkan untuk ahli parti berkenaan.
Menurut Naib Presiden Amanah, Mahfuz Omar, ada pemimpin PAS yang terkeliru kerana menganggap bantuan tersebut – Sumbangan Asas Rahmah (Sara) – sebagai meniru amalan ideologi komunis.
Hakikatnya, kata Mahfuz, pemimpin terbabit menampakkan dirinya mempunyai masalah serius kerana gagal memahami sesuatu dasar namun mahu kelihatan pandai dalam bidang ideologi.
Mahfuz yang juga Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang menambah inisiatif Sara yang diberikan kerajaan terdiri daripada dua jenis bantuan.
Pertama, katanya, bantuan tetap secara bulanan khusus untuk keluarga B40 dan asnaf bagi meringankan beban mereka menjalani kehidupan seharian.
Yang kedua, kata Mahfuz, bantuan Sara sekali beri untuk semua rakyat yang mencapai usia sekurang-kurangnya 18 tahun tanpa mengira kedudukan ekonomi mereka, namun ia tidak boleh dianggap sebagai amalan “sama rata.”
Sebaliknya, kata bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu lagi, inisiatif tersebut dipersiapkan sebagai penyuntik ekonomi jangka pendek bagi menggerakkan semula perbelanjaan domestik selepas tekanan inflasi dan harga makanan.
“Dalam ekonomi moden, bantuan one-off diberikan pelbagai negara maju termasuk AS, Jepun dan Singapura, sebagai stimulus.
“Hanya di Malaysia, nampaknya, masih ada ahli parlimen yang apabila nampak kerajaan bantu rakyat, terus jerit ‘komunis!’
“Kalau memberi kepada orang miskin dikata komunis, dan memberi kepada semua pun dikata komunis, agaknya apa yang bukan komunis bagi YB tersebut?
“Mungkin (bukan amalan komunis) hanya apabila duit bantuan tu datang dari tangan mak cik sendiri, baru jadi Islamik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tebus tapi jangan bawa balik
Mahfuz mengulas dakwaan dibuat Ahli Parlimen Temerloh, Salamiah Mohd Nor, yang mendakwa pemberian bantuan sekali beri RM100 itu sebagai menyerupai amalan idelogi komunis.
Dia membuat kenyataan itu dalam satu majlis anjuran PAS dan klip video tersebut tular sejak semalam.
“Kita kena ingat, sistem ini sistem mana? Bukan sistem keadilan. Sistem ini adalah sistem komunis. Sedar tak sedar negara kita melaksanakan sistem komunis.
“Kenapa saya sebut begitu? Kerana sistem ini memberikan hak sama rata kepada yang perlu dan yang tak perlu,” katanya.
Menurut Mahfuz, rakyat Malaysia tidak akan menjadi seorang komunis hanya dengan menebus pemberian RM100 tersebut.
Dia juga menyarankan agar Salamiah memanfaatkan bantuan tersebut untuk kebajikan ahli PAS sendiri.
“Yang pasti mak cik dan keluarga kena tebus (RM100) tapi barang (yang dibeli dengan duit tersebut) jangan bawa balik rumah, sebaliknya sedekahlah kepada ahli PAS di Temerloh atau guru-guru Pasti Temerloh,” katanya.
Mahfuz juga menjelaskan bantuan Sara itu bukanlah suatu dasar sama rata seperti amalan ideologi komunis, sebaliknya langkah untuk keadilan sosial yang bersasar dan berhikmah.
Sara merupakan bantuan tunai yang dikreditkan ke dalam MyKad penerima untuk pembelian 14 kategori barangan asas di lebih 7,300 kedai serta pasar raya terpilih seluruh negara.
Seseorang penerima bagaimanapun tidak diwajibkan menebus wang berkenaan dan bantuan tersebut akan dikembalikan kepada kerajaan jika tidak diusik sehingga akhir tahun ini.






