Seorang pesara lelaki berusia 77 tahun kerugian RM473,000 selepas ditipu sindiket pelaburan tidak wujud yang menjanjikan keuntungan tinggi dalam masa singkat.
Ketua Polis Daerah Kulai ACP Tan Seng Lee berkata, warga emas itu mendakwa menjadi mangsa selepas berminat menyertai pelaburan yang menawarkan keuntungan antara 30 hingga 40 peratus dalam tempoh 24 jam, kononnya akan dikreditkan ke dalam akaun aplikasi “MML Max” miliknya.
“Tertarik dengan janji keuntungan tersebut, mangsa telah melakukan 12 transaksi berjumlah RM473,000 ke dalam tiga akaun bank tempatan dari 16 Sept hingga 18 Okt 2025,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tan berkata, selepas membuat semakan pada aplikasi tersebut, mangsa mendapati jumlah “keuntungan” yang tertera mencecah RM2.63 bilion, namun akaun berkenaan disekat ketika mangsa cuba membuat pengeluaran.
Beliau menambah, mangsa yang menyedari dirinya ditipu tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai semalam.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu melalui tawaran pelaburan tidak wujud.
— Bernama






