Satu mayat reput ditemukan di Tanah Perkuburan Hokkien Jalan Batu Gantung, di George Town semalam.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Abdul Rozak Muhammad berkata pihaknya menerima aduan daripada orang awam mengenai penemuan mayat lelaki dewasa tanpa identiti itu di kawasan terbabit pada 7.30 malam.
“Hasil siasatan mendapati si mati dijumpai dalam keadaan terlentang di tanah perkuburan tersebut. Pemeriksaan terhadap mayat tidak mengesan unsur jenayah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata bedah siasat yang dijalankan oleh Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) tidak dapat mengenal pasti punca kematian mangsa disebabkan keadaan mayat yang telah reput.
Bagaimanapun, Abdul Rozak berkata si mati disyaki seorang lelaki warga emas tempatan berumur 79 tahun dan dilaporkan telah keluar dari sebuah pusat jagaan orang tua di Jalan Perak, di sini, sejak 13 Okt lepas.
Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
– Bernama






