Malaysia Oversight

Penduduk Kg Papan demo depan pusat pentadbiran S’gor

By MkiniBM in October 23, 2025 – Reading time 2 minute
Penduduk Kg Papan demo depan pusat pentadbiran S’gor


Sekumpulan penduduk kampung dari Klang berhimpun di depan pusat pentadbiran di Shah Alam bagi menuntut campur tangan Menteri Besar Amirudin Shari berhubung notis perobohan rumah mereka beberapa hari lagi.

Perhimpunan yang disertai pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) itu menuntut Amirudin menggunakan kuasa politiknya bagi menangguhkan perobohan rumah penduduk serta mengadakan perbincangan dengan pemaju.

Timbalan Pengerusi PSM, Arutchelvan Subramaniam berkata penduduk mahu pemaju menghormati dasar Pakatan Harapan (PH) yang menjamin peneroka tidak diusir sebelum penempatan semula disediakan.

“Isu ini sudah berlarutan lebih berpuluh tahun tanpa ada jalan penyelesaian dan sekarang kami (penduduk) diancam kehilangan rumah,” ujarnya yang hadir bersama penduduk Kampung Papan, Pandamaran, Klang.

06cefa4bb5d503a55e78cf876813b49c
edd46aa138fde525f1baa0051ca5ebff

Sementara itu, seorang penduduk, Teoh Ah Guat, 63, yang tinggal lebih 30 tahun bersama suami dan dua anaknya di kampung itu memohon rumah ganti disiapkan terlebih dahulu.

“Rumah masih belum siap, tetapi sudah disuruh pindah,” dakwanya.

Penduduk lain, Nathan Marimuthu, 55, meluahkan rasa sedih mengenangkan rumah peninggalan mendiang bapanya yang dibina sejak 50 tahun lalu bakal dirobohkan.

 “Rumah kami dibina sendiri oleh ayah saya dan menjadi tempat kami membesar serta berkumpul sejak puluhan tahun lalu.

 “Majoriti penduduk sudah tua dan tak mampu sewa rumah lain sekiranya pengusiran diteruskan,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Low Ren Yi, 55, pula menuntut pampasan lebih besar.

 “Saya bina sendiri empat bilik tidur dan dua bilik air di atas tanah ini. 

“Kalau sekarang nilai mungkin sudah lebih RM200,000. Jadi pampasan RM7,000 memang tidak cukup,” katanya.

Low menegaskan penduduk tidak akan berpindah atau menyewa di rumah lain selagi isu itu tidak diselesaikan.

Penduduk mendakwa harus mengosongkan rumah mereka selewat-lewatnya 27 Oktober. 

Exco perumahan Borhan Aman Shah hadir bertemu penunjuk perasaan dan menerima memorandum tujuh halaman. 

Dia, Arutchelvan dan tiga orang wakil penduduk kemudian masuk ke dalam bangunan untuk perbincangan lanjut. 

Anggota Dewan Undangan Negeri () Pandamaran Tony Leong Tuck Chee kemudian menyertai perbincangan itu.

Memorandum itu antaranya menyebut masih terdapat 99 daripada 211 keluarga masih menetap di Kampung Papan. 



Source link