Insiden kapal milik Petronas yang dikepung dan dihalau sekumpulan bot nelayan di perairan berhampiran Ketapang, Pulau Madura, Indonesia, baru-baru ini telah diselesaikan secara baik.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Kerajaan Malaysia mengambil serius isu berkenaan, namun menegaskan insiden itu belum mencapai tahap yang memerlukan ia dibangkitkan kepada Presiden Indonesia Prabowo Subianto, memandangkan kedua-dua negara mempunyai saluran diplomasi yang baik untuk menyelesaikan sebarang perkara berbangkit.
“Tentang gangguan kepada (kapal) Petronas, namun ia tidak sampai ke tahap yang memerlukan kita menghubungi Presiden Prabowo.
“Secara umumnya, hubungan dengan Indonesia itu amat baik dan isu sempadan ini kita leraikan sebagai sahabat. Ada juga kes pencerobohan oleh nelayan, sama ada dari Malaysia ke Indonesia atau sebaliknya, yang kita usahakan penyelesaiannya secara baik,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat ketika menjawab soalan tambahan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (PN–Kubang Kerian), yang meminta penjelasan mengenai pendirian kerajaan berhubung isu persempadanan susulan insiden kapal Petronas dikepung dan dihalau oleh bot nelayan Indonesia itu.
Mengulas lanjut mengenai insiden kapal Petronas yang diganggu sekumpulan bot nelayan di perairan berhampiran Ketapang, Pulau Madura, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia memilih diplomasi dan platform perbincangan dengan negara jiran berbanding menubuhkan Suruhanjaya Tetap Persempadanan.
“Pada peringkat sekarang, kita tidak meneruskan penubuhan Suruhanjaya Tetap Persempadanan, namun kerjasama dan perbincangan kita dengan negara jiran sememangnya turut menyentuh soal sempadan secara menyeluruh,” katanya.
Menurut Anwar, perkara berhubung sempadan melibatkan Thailand dan Vietnam (perairan), serta Singapura dan Brunei yang “masih mempunyai sedikit perbezaan kecil”, dengan beberapa kawasan belum dimeterai.

Menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) mengenai kedudukan serta jaringan kerjasama Malaysia dengan kuasa luar selepas tamat Kepengerusian ASEAN, Anwar menegaskan hubungan antarabangsa Malaysia kekal mantap.
Beliau merujuk kehadiran Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di Kuala Lumpur, sambil memaklumkan pemimpin itu dijadual mengadakan mesyuarat dua hala bersama Malaysia sebelum menghadiri mesyuarat khas dengan negara-negara ASEAN.
“Sekurang-kurangnya, Amerika Syarikat melihat Malaysia — dengan dasar centrality-nya — sebagai satu-satunya negara yang mampu mengumpulkan negara-negara berpandangan berbeza.Kita menerima mereka bukan hanya atas dasar ASEAN, tetapi juga kerana dasar luar Malaysia yang memilih untuk bersahabat dengan semua pihak demi kepentingan rakyat dari aspek perdagangan, hubungan antarabangsa, geopolitik dan pelaburan,” katanya.“Justeru, hubungan kita dengan beberapa negara yang mungkin tidak dipersetujui pihak lain tidak menghalang Malaysia daripada membuat keputusan secara bebas.”
Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 akan berlangsung di Kuala Lumpur pada 26–28 Okt, dengan penyertaan 10 pemimpin negara anggota serta pemimpin dan wakil dari pelbagai benua. Timor-Leste, yang sebelum ini hadir sebagai pemerhati, mengesahkan kehadiran pemimpinnya dan bakal menjadi anggota ke-11 ASEAN.
ASEAN kini terdiri daripada: Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailanddan Vietnam.
– Bernama






