Polis akan melaksanakan lencongan dan penyuraian trafik secara berperingkat bermula lapan pagi sehingga 7.45 malam esok sempena raptai Sidang Kemuncak Asean ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Mohd Yusri Hassan Basri berkata raptai yang akan diteruskan sehingga Jumaat ini adalah langkah penting bagi memastikan pergerakan delegasi sebenar kelak berjalan lancar dan tersusun.
“Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya mengelak daripada menggunakan laluan terlibat semasa raptai, mengikut panduan petugas trafik dan papan tanda sementara serta menggunakan pengangkutan awam,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
“Penutupan jalan hanya akan dilakukan selama dua kali iaitu selama 45 minit pada lapan hingga 8.45 pagi dan tujuh hingga 7.45 malam, bagi memastikan semua laluan, penugasan serta pengiringan delegasi antarabangsa dapat dilakukan dengan sempurna,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Mohd Yusri berkata sejumlah 1,111 pegawai dan anggota trafik ditugaskan untuk kawalan lalu lintas, pengiringan delegasi kenamaan serta penguatkuasaan undang-undang untuk memastikan kelancaran lalu lintas semasa sidang kemuncak adalah mencukupi.
-Bernama






