Malaysia Oversight

Dua lelaki didakwa ganggu rangkaian Maxis guna peralatan tidak sah

By TheSun in October 22, 2025 – Reading time 2 minute
Dua lelaki didakwa ganggu rangkaian Maxis guna peralatan tidak sah


PETALING JAYA: Dua lelaki dihadapkan ke dua Mahkamah Sesyen berasingan di sini hari ini atas pertuduhan menggunakan kelengkapan komunikasi tidak diperakui serta radas yang menyebabkan gangguan kepada perkhidmatan rangkaian syarikat telekomunikasi.

Tertuduh Choong For Seng berusia 43 tahun dan Ling Siew Lung berusia 46 tahun masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh dan Dr Noor Ruzilawati Mohd Nor.

Di hadapan Syahliza, Choong didakwa menggunakan satu set GSM Module tanpa jenama, model dan nombor siri yang tidak diperakui di bawah Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 di tepi jalan bersebelahan sebuah kedai makan di Mutiara Damansara di sini pada 11.55 pagi 19 November 2024.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Peraturan 16(1)(b) dan Peraturan 16(3) peraturan sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum 300,000 ringgit atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Choong turut berdepan pertuduhan pindaan kerana dengan sengaja menggunakan radas sama sehingga menyebabkan gangguan elektromagnetik besar mengakibatkan perkhidmatan rangkaian Maxis Sdn Bhd di kawasan berkenaan terganggu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Peraturan 34(5)(c) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Spektrum) 2000 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga 300,000 ringgit atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sementara itu di hadapan Noor Ruzilawati, Ling didakwa bersubahat dengan Choong bagi melakukan dua kesalahan sama di tempat, tarikh dan masa sama mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman serupa.

Hakim Syahliza dan Noor Ruzilawati masing-masing membenarkan Choong dan Ling diikat jamin 5,000 ringgit bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin serta menetapkan 4 Disember ini untuk sebutan kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia Fadhli Ab Wahab dan Pegawai Pendakwa MCMC Mohamad Farhan Kamarudin manakala kedua-dua tertuduh masing-masing diwakili peguam Kee Wei Lon dan Jonas Ee Gen You. – Bernama



Source link