Malaysia Oversight

Kitingan kata ya, KDM nafi ada bincang pasal GBS

By MkiniBM in October 22, 2025 – Reading time 2 minute
Kitingan kata ya, KDM nafi ada bincang pasal GBS


Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Jeffrey Kitingan menegaskan dia telah bertemu dengan pimpinan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) meskipun parti itu menafikan pertemuan tersebut.

Menurut Kitingan, pertemuan berkenaan bukanlah rundingan rasmi tetapi lebih kepada perbincangan mengenai keperluan parti-parti tempatan Sabah untuk bersatu di bawah gagasan Gerakan Bersatu Sabah (GBS) yang dicadangkannya.

“Kami belum berunding, tetapi kami sudah berjumpa dan kami bercerita tentang isu ini.

Kalau mereka (KDM) menafikan, itu terpulang kepada mereka. Tetapi kami bercerita tentang keperluannya (GBS). Kita bersatu demi Sabah dan juga demi kemenangan,” katanya seperti dipetik Astro Awani.

Semalam, Timbalan Presiden KDM Wetrom Bahanda menafikan dakwaan partinya telah mengadakan perbincangan dengan mana-mana parti lain termasuk Star berhubung pakatan politik.

3d37de6ba135838abf97bfca425b58ae

Menolak laporan dia bertemu Kitingan bagi membincangkan kemungkinan KDM menyertai GBS, Wetrom menegaskan partinya akan bergerak secara solo dalam pilihan raya negeri Sabah akan datang.

Sehari sebelum itu, Kitingan dilaporkan berkata dia sudah mengadakan perbincangan dengan beberapa pemimpin parti tempatan yang berminat menyertai GBS — blok politik baharu yang ditubuhkan oleh bekas parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) iaitu Parti Progresif Sabah (SAPP) dan Star.

Dia turut menyebut telah berbincang dengan Wetrom mengenai penyertaan KDM dalam GBS namun tidak pasti dengan pendirian parti tersebut memandangkan KDM sebelum ini telah mengumumkan akan bertanding di 38 kerusi.

Mengulas lanjut, Kitingan berkata ego politik menjadi halangan utama kepada penyatuan parti-parti tempatan di Sabah.

“Masalah ini sudah lama di Sabah kerana semua orang mahu menjadi wira.

“Kali ini kita perlu bersatu, ketepikan perbezaan kerana kita mahu perubahan dan mahu menang bersama. Jika itu juga matlamat parti-parti tempatan, maka kita perlu bersatu,” katanya.

Katanya, GBS akan ditubuhkan sama ada sebelum atau selepas pilihan raya negeri.

Buat masa ini, GBS dijangka kekal sebagai pakatan dengan Star dan SAPP sebagai komponen teras.

Kedua-dua parti itu berpisah daripada GRS awal bulan ini selepas memutuskan untuk bertanding menggunakan logo masing-masing.

Mereka juga menentang keputusan GRS yang memberikan terlalu banyak konsesi kepada PH – sekutunya di peringkat persekutuan – dalam rundingan pembahagian kerusi pilihan raya negeri.

GBS merancang untuk bertanding di semua 73 kerusi, sekali gus menjadikan pertembungan dengan bekas sekutu mereka, GRS, tidak dapat dielakkan.

Kitingan turut mendakwa wujud “gelombang perubahan” yang kini melanda Sabah dan menyifatkannya sebagai petanda rakyat negeri itu mahukan baharu yang dibentuk oleh gabungan parti-parti tempatan.

“Ia akan memuncak pada hari pengundian. Mungkin selepas hari penamaan calon, ia akan mencapai kemuncak.

“Saya yakin perubahan ini akan berlaku kerana rakyat Sabah sudah memahami apa yang perlu dilakukan,” katanya.

Sabah akan mengadakan pilihan raya negeri pada 29 November, manakala pengundian awal ditetapkan pada 25 November.



Source link