Petronas mengesahkan kapal peninjaunya telah diganggu di perairan Indonesia, menyebabkan operasi dihentikan sementara sebagai langkah keselamatan.
Syarikat itu menjelaskan bahawa kapal tinjauan tapak Barokah-1, yang dikendalikan oleh anak syarikatnya Petronas North Ketapang Sdn Bhd (PNKSB), telah didekati secara tidak dijangka oleh beberapa bot nelayan semasa menjalankan operasi.
Sebagai maklum balas, PNKSB menjelaskan pihaknya telah berhubung dengan komuniti tempatan terlebih dahulu untuk menerangkan tujuan aktiviti berkenaan serta menilai sebarang potensi kesan terhadap sumber pendapatan nelayan.
“Sebelum tinjauan dijalankan, PNKSB telah berinteraksi dengan nelayan dan pihak berkuasa tempatan bagi menerangkan aktiviti tersebut serta menilai kemungkinan kesan terhadap bubu ikan.

“Sebarang bubu yang terjejas akan diberi pampasan selepas tinjauan selesai, mengikut proses yang telah dipersetujui,” kata syarikat itu ketika dihubungi Malaysiakini.
Selain itu, PNKSB turut mengesahkan pampasan bagi bubu ikan yang terjejas sepanjang Tinjauan Marin 3D Seismik 2024 di kawasan Bangkalan, Sampang, Pamekasan dan Sumenep telah diselesaikan sepenuhnya melalui kontraktor dilantik, PT Elnusa Tbk.
Konglomerat minyak itu juga memberi jaminan bahawa tiada kakitangan yang cedera dalam insiden berkenaan, menjelaskan semua aktiviti tinjauan kini telah selesai sepenuhnya.
PNKSB menegaskan komitmennya untuk mematuhi sepenuhnya peraturan sedia ada dan akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa serta komuniti tempatan bagi memastikan operasi dijalankan dengan selamat dan bertanggungjawab.
Pada 17 Oktober, kira-kira 100 bot nelayan tradisional dilaporkan mengepung dan menghalau keluar kapal tinjauan Petronas dari perairan berhampiran Ketapang, di utara Pulau Madura.
Menurut rakaman video yang diterbitkan oleh portal Tribunnews di Indonesia, sekumpulan bot nelayan dilihat menghampiri kapal tinjauan berkenaan dan mengelilinginya bagi menghalang aktiviti diteruskan.
Kumpulan nelayan di atas bot tersebut turut kedengaran menjerit ke arah kapal Petronas, menuntut supaya ia menghentikan operasi serta-merta dan beredar dari kawasan itu.
Para nelayan mendakwa bahawa aktiviti tinjauan tersebut telah merosakkan kawasan penangkapan ikan mereka, selain menuntut agar kapal Petronas menghentikan pemasangan kabel di dasar laut serta mengeluarkan semula kabel yang telah dipasang pada hari kejadian.






