Malaysia Oversight

Musim monsun barat daya bermula 10 Mei hingga Sept

By MkiniBM in May 7, 2025 – Reading time 1 minute
Musim monsun barat daya bermula 10 Mei hingga Sept


Monsun Barat Daya dijangka bermula pada 10 Mei ini dan berterusan sehingga Sept susulan tiupan angin yang mula bertiup secara konsisten dari arah barat daya ke rantau negara.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) Mohd Hisham Mohd Anip berkata sepanjang musim tersebut, kadar kelembapan udara lazimnya rendah, sekali gus menyebabkan kurangnya pembentukan awan hujan di kebanyakan tempat.

“Sehubungan itu, negara akan menerima jumlah hujan yang lebih rendah berbanding tempoh lain dengan bilangan hari tanpa hujan adalah lebih banyak berbanding bilangan hari hujan.

“Bagaimanapun, hujan lebat berserta angin kencang dan ribut petir masih boleh berlaku di kawasan barat Semenanjung, utara Sarawak dan barat Sabah, terutamanya pada awal pagi berikutan kehadiran fenomena garis badai (squall line).

“Ia merupakan barisan ribut petir yang terbentuk akibat penumpuan angin dan boleh berlarutan sehingga beberapa jam,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Mohd Hisham berkata ketika kemuncak monsun berkenaan – antara Julai hingga Sept – fenomena jerebu setempat dan rentas sempadan boleh berlaku sekiranya aktiviti pembakaran terbuka tidak dikawal.

Dia turut menasihatkan agar sebarang pembakaran terbuka dielakkan bagi mengurangkan risiko pencemaran jerebu, selain menggalakkan orang ramai menggunakan air secara berhemah sepanjang musim itu.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini menerusi laman sesawang rasmi MetMalaysia, aplikasi mudah alih myCuaca, media sosial rasmi jabatan berkenaan atau menghubungi talian hotline 1-300-22-1638 untuk sebarang pertanyaan lanjut.

Bernama



Source link