Kerajaan buat masa ini tidak memerlukan undang-undang baharu untuk menangani isu deepfake dan penyalahgunaan kecerdasan buatan (AI), kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching di Parlimen hari ini.
Menjawab soalan Dr Suhaili Abdul Rahman (PN–Labuan) mengenai rancangan kerajaan untuk mengekang penyalahgunaan AI dan menangani penipuan dalam talian, Teo berkata pindaan terbaru terhadap Seksyen 23(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) serta pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian sudah memadai untuk menangani isu berkenaan.
“Saya rasa setakat ini pindaan terhadap Seksyen 233 di bawah Seksyen 23(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 588 itu sudah mencukupi.
“Kalau ada seseorang yang gunakan maklumat palsu untuk penipuan, memang akan menjadi kesalahan – tidak kisahlah kalau guna AI atau deepfake untuk buat penuduhan, itu memang satu kesalahan,” katanya.
Teo turut menjelaskan Akta Keselamatan Dalam Talian, yang berkuat kuasa pada Julai tahun ini, merupakan langkah proaktif kerajaan dalam menangani isu tersebut dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kini sedang memperkemas instrumen subsidiari di bawah akta berkenaan.
Pada Ogos lalu, Teo berkata 10 instrumen subsidiari, yang merangkumi peraturan serta kod pelaksanaan, dijangka siap antara suku keempat tahun ini (S4 2025) hingga suku kedua tahun depan (S2 2026), bergantung kepada tahap kerumitan dan kesediaannya.
Pada sidang parlimen hari ini, dia turut menjelaskan MCMC akan terus bekerjasama dengan platform media sosial dan agensi penguat kuasa bagi membanteras maklumat palsu serta kandungan berbahaya dalam talian.
Menurut Teo, dari 1 Jan 2022 hingga 15 Okt 2025, pihak berkuasa menerima sekurang-kurangnya 3,074 laporan berkaitan AI dan deepfake serta 77 peratus daripadanya telah berjaya dipadam.
Berhubung kandungan palsu lain termasuk maklumat tidak benar, Teo berkata MCMC telah mengendalikan lebih 55,000 hantaran, dengan 85 peratus daripadanya berjaya diturunkan. Dia menjelaskan bahawa tindakan penurunan kandungan dilakukan berdasarkan aduan awam serta garis panduan komuniti yang berpandukan undang-undang tempatan.
Teo juga menekankan antara cabaran terbesar dihadapi MCMC ialah mengesan dalang di sebalik e-mel palsu dan akaun media sosial yang disalahgunakan.
Menurut Teo, pihaknya menerima aduan mengenai akaun TikTok yang menyalahgunakan imej Yang di-Pertuan Agong.
“Tetapi apabila kami cuba mengesan pemilik akaun tersebut, kami dapati mereka menggunakan maklumat palsu milik warga asing untuk mendaftar akaun media sosial mereka.
“Justeru, akhirnya Pejabat Peguam Negara (AGC) memutuskan untuk menutup kes tanpa tindakan lanjut kerana suspek tidak dapat dikesan. Oleh itu, antara usaha MCMC bagi menangani isu ini adalah dengan memperketat peraturan pendaftaran kad SIM prabayar,” katanya.
Dia menjawab soalan tambahan oleh Dr Taufiq Johari (PH–Sungai Petani) yang turut membangkitkan kebimbangan mengenai penyalahgunaan AI, merujuk kepada insiden beberapa ahli politik baru-baru ini yang dikaitkan dengan video seks ugutan.
Bulan lalu, sekurang-kurangnya 10 ahli politik, termasuk Taufiq sendiri serta Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, menerima ugutan video seks palsu yang didakwa dihasilkan menggunakan teknologi AI.
Menurut Fahmi, hasil siasatan mendapati semua ugutan itu dihantar dari alamat e-mel yang sama, mengandungi ancaman dan tangkap layar video palsu serupa yang dikatakan dihasilkan menggunakan kecerdasan buatan.
Dalam satu hantaran di platform X yang kini telah dipadam, Fahmi berkongsi tangkapan layar video hitam putihmenunjukkan dua lelaki berbaring di atas katil, dengan wajahnya disuperimposkan pada salah seorang lelaki dalam video berkenaan.
Mereka yang menerima e-mel itu diugut bahawa video tersebut akan disebarkan jika tidak membayar AS$100,000 (RM420,000).
Menurut Fahmi lagi, ahli politik yang turut menerima ugutan berkenaan termasuk Ahli Parlimen PKR Rafizi Ramli, Wong Chen, Adam Adli Abd Halim; ADUN PKR Najwan Halimi dan Fahmi Ngah; Senator PKR Manolan Mohamad; serta ADUN Gerakan Wong Chia Zhen.
Fahmi menegaskan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan teknologi untuk menipu atau menakut-nakutkan orang awam.






