Realme kini dalam persediaan untuk melancarkan peranti baharu dalam siri GT dalam masa terdekat. Peranti yang dimaksudkan ialah Realme GT7, yang turut dipromosikan sebagai sebuah peranti dengan keupayaan mencabar pesaing lain. Kami telah diberikan peluang untuk melihat peranti ini lebih awal, dan berikut dikongsikan pandangan pertama mengenainya.

Apa Di Dalam Kotak?
Kotak bungkusan Realme GT7 hadir dengan kemasan serba hitam memberikan kesan moden serta minimalis. Pada bahagian hadapan, penjenamaan Realme GT7 dipaparkan dengan jelas menggunakan saiz fon yang besar bagi memudahkan pengguna mengenali model ini dengan pantas. Selain itu, kotak pembungkus ini turut memaparkan beberapa spesifikasi utama, termasuk cip pemprosesan, kapasiti memori, storan, serta ciri-ciri lain yang melengkapi peranti ini.

Apabila kotak dibuka, pengguna akan menerima telefon pintar Realme GT7 bersama beberapa aksesori tambahan. Antara aksesori yang disertakan ialah kerangka pelindung, manual pengguna, pencungkil SIM, kepala pengecas, serta kabel USB A-C berwarna putih. Unit yang diterima menyertakan kepala pengecas dua pin dari China. Namun, bagi pasaran Malaysia, pengecas tiga pin dijangka akan disediakan bagi memastikan kesesuaian penggunaan dengan soket elektrik tempatan.
Reka Bentuk Dan Paparan
Realme masih mengekalkan elemen reka bentuk yang sama seperti Realme GT7 Pro pada peranti ini. Panel belakang dengan kemasan pusam berkilat digunakan sepenuhnya bagi memastikan keselesaan ketika penggunaan. Selain itu, kemasan ini turut membantu mengekalkan nilai penampilan peranti agar sentiasa kelihatan baik serta mengurangkan kesan kotoran yang mudah terlihat.

Kemasan berkilat ini menghasilkan efek seperti pasir berkilauan apabila terkena cahaya yang memberikan sentuhan unik kepada reka bentuk peranti. Pada pandangan saya, reka bentuk ini kelihatan minimalis tetapi masih menonjol dengan daya tarikan tersendiri. Bagaimanapun, perkara ini bergantung kepada cita rasa individu, kerana setiap orang mempunyai perspektif yang berbeza mengenai elemen reka bentuk yang menarik

Realme GT7 hadir dengan modul kamera segi empat tepat yang besar dengan sisi serong bagi mengurangkan kesan benjolan. Selain itu, kawasan sekeliling modul kamera dihiasi dengan garisan merah pekat yang menyerlahkan identiti reka bentuk peranti ini. Dari segi keselesaan penggunaan, Realme GT7 menawarkan keseimbangan yang baik serta selesa dipegang, berkat reka bentuk tepi rata dan sudut melengkung yang membantu meningkatkan cengkaman tangan.

Realme turut memperkenalkan penjenamaan HyperImage+, yang menunjukkan bahawa sistem kamera peranti ini menggunakan teknologi berkenaan. Ia bukanlah sesuatu yang baharu, malah Realme telah menggunakannya dalam beberapa peranti sedia ada sejak diperkenalkan pada tahun lalu. Selain itu, penjenamaan Graphene menandakan bahawa bateri peranti ini menggunakan teknologi tersebut bagi meningkatkan kecekapan dan ketahanan.


Seterusnya, susun atur butang standard kelihatan sama seperti Realme 14, yang pernah saya uji sebelum ini. Butang kuasa dan laras audio ditempatkan di bahagian kanan peranti. Menariknya, butang kuasa ini dihiasi dengan kemasan serba merah, yang menonjolkan lagi kewujudannya.
Bahagian sisi kiri peranti kelihatan kosong, sementara bahagian atas menempatkan sensor infra merah serta lubang mikrofon. Telefon ini juga menyokong sistem pembesar suara stereo, dengan salah satu pembesar suara terletak di bahagian bawah bersebelahan dengan port USB-C dan slot SIM.

Realme GT7 hadir dengan paparan AMOLED bersaiz 6.78 inci, menawarkan resolusi FHD+ (2,780 x 1,264 piksel) serta kadar segar semula 120Hz. Selain itu, paparan ini dikatakan telah melepasi pensijilan HDR10+ dan Dolby Vision, dengan prestasinya akan diuji dalam artikel akan datang.
Peranti ini turut menyokong sistem imbasan cap jari terbina di skrin. Selain itu, reka bentuk tepi peranti yang rata serta bezel nipis meningkatkan pengalaman tontonan, tanpa sebarang masalah dalam penggunaan awal.
Perkakasan Dan Perisian
Tiada butiran mengenai cip yang boleh didedahkan buat masa ini. Namun pilihan memori bagi unit yang diterima ialah 12GB RAM dengan storan dalaman 512GB, tanpa sokongan kad microSD. Selain itu, peranti ini turut menawarkan RAM maya sebanyak 12GB. Perisian yang digunakan pula berasaskan Realme UI 6.0 dengan Android 15.
Seperkara lagi, Realme GT7 hadir dengan bateri berkapasiti 7,000mAh yang menyokong sistem pengecasan pantas 120W. Peranti ini boleh dicas semula secara berwayar menerusi port USB-C yang disediakan.
Tetapan Kamera

Kamera utama hadir dengan konfigurasi lensa utama 50MP, lensa telefoto 50MP, serta lensa ultra lebar 8MP yang dilengkapi teknologi HyperImage+. Kamera ini mampu merakam sehingga 8K pada kadar bingkai 30FPS yang seharusnya mampu menghasilkan rakaman yang tajam dan terperinci. Sementara itu, kamera hadapan dilengkapi sensor sebesar 32MP.
Aplikasi kamera turut menawarkan beberapa fungsi terbina seperti Street, Video, Photo, Portrait dan More. Selain itu, terdapat juga beberapa mod tambahan seperti AI Snap Mode, Underwater Mode dan Film. Kamera ini menyokong teknologi AI serta HDR terbina bagi memastikan gambar diambil dengan imbangan cahaya yang seimbang dan berkualiti.
Pengguna juga boleh memilih stail fotografi seperti Crisp untuk tampilan yang neutral atau Vibrant bagi menghasilkan warna yang lebih terang. Selain itu, apabila menggunakan Street Mode, terdapat tab zoom yang membolehkan tangkapan zoom dilakukan secara automatik apabila diaktifkan. Dalam masa yang sama, panjang fokus yang ditawarkan adalah antara 16mm hingga 115mm.
Kesimpulan

Realme GT7 ialah peranti dengan reka bentuk moden serta spesifikasi menarik dalam kelasnya. Ia dilengkapi pilihan memori 12GB RAM + storan dalaman 512GB, serta bateri berkapasiti 7,000mAh dengan sokongan pengecasan pantas 120W. Dari segi fotografi, peranti ini menawarkan kamera utama 50MP dengan teknologi HyperImage+ dan AI, serta paparan AMOLED 6.78 inci FHD+ dengan kadar segar semula 120Hz. Selain itu, ia menyokong sistem audio stereo dan imbasan cap jari dalam skrin, memberikan keseimbangan dalam prestasi serta pengalaman penggunaan harian.
Prestasi sebenar peranti ini akan diuji lebih lanjut dalam artikel yang akan datang.