Malaysia Oversight

PM beri taklimat di parlimen pagi ini berkaitan pemberian khas Sabah

By MkiniBM in October 22, 2025 – Reading time 1 minute
PM beri taklimat di parlimen pagi ini berkaitan pemberian khas Sabah


Perdana Menteri Ibrahim akan memberi taklimat kepada Dewan Rakyat berhubung pemberian khas persekutuan untuk Sabah pagi ini.

Menurut notis kepada media yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri, sesi penerangan menteri itu dijadualkan bermula pada jam 11.30 pagi.

“Salam rakan-rakan media. Perdana Menteri akan membuat Sesi Penerangan Menteri di Dewan Rakyat pada 11.30 pagi ini berkaitan Pemberian Khas Untuk Sabah. Mohon tindakan dan perhatian semua,” demikian menurut notis berkenaan.

Difahamkan sesi ini diadakan susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada Jumaat lalu, yang memutuskan bahawa persekutuan telah bertindak secara tidak sah dan melampaui bidang kuasa di bawah Perlembagaan Persekutuan kerana gagal memberikan 40 peratus hasil persekutuan yang sepatutnya diterima Sabah sejak hampir lima dekad lalu.

Dalam keputusannya, Hakim Celestina Stuel Galid mengisytiharkan bahawa perintah semakan pemberian khas yang dikeluarkan bersama oleh persekutuan dan kerajaan negeri adalah “tidak sah, ultra vires dan tidak rasional,” sekali gus melanggar Perlembagaan.

Mahkamah turut mengeluarkan perintah mandamus yang mengarahkan untuk menjalankan semakan semula hasil bersama kerajaan Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan, dan mencapai persetujuan mengenai hak Sabah terhadap 40 peratus hasil persekutuan bagi setiap tahun kewangan dari 1974 hingga 2021.

Semakan tersebut perlu dimulakan dalam tempoh 90 hari dan diselesaikan dalam masa 180 hari.



Source link