OpenAI Perkenal Pelayar Web Terendiri Dengan Integrasi AI – ChatGPT Atlas
Aman
OpenAI hari ini secara mengejut memperkenalkan satu lagi produk dibawah mereka, iaitu sebuah pelayar web. OpenAI menamakan pelayar web ini sebagai ChatGPT Atlas, dan seperti ramai jangkakan, ia hadir terbina dengan ChatGPT. ChatGPT Atlas ditawarkan untuk macOS sahaja buat masa ini, dan dijangka ditawarkan untuk Windows, Android dan iOS dalam masa terdekat.

ChatGPT Atlas menawarkan antaramuka utama dengan fokus pada chatbot, membolehkan anda menggunakannya dalam bertanyakan sebarang perkara, atau ke laman web. Pengguna turut boleh menggunakannya sebagai sokongan carian, dan ia akan memaparkan hasil carian berkaitan dengan kata kunci dalam bentuk rumusan AI seperti biasa di ChatGPT, atau dalam bentuk paparan pautan seperti hasil carian biasa.

Semua tab yang dibuka juga turut menyertakan butang “Ask ChatGPT”, yang membuka bahagian tepi khusus untuk pengguna bertanyakan sebarang perkara berkenaan sesuatu web yang dibuka. Tidak setakat itu, anda turut boleh mengaktifkan ChatGPT Agent, dan meminta agen AI untuk melakukan sejumlah perkara pada halaman tab yang dibuka berkenaan.
OpenAI menekankan yang mana ChatGPT Atlas hanya boleh mengakses sesuatu perkara pada sesuatu tab sahaja, dan tidak boleh mengakses fail dan dokumen diluar tab berkenaan. Pelayar web ChatGPT Atlas turut hadir dengan sokongan “Memori”, membolehkan ia ingat dan mengoptimasikan lagi pelayaran apabila bergerak kehadapan.
Seperti pelayar web biasa, ChatGPT Atlas turut hadir dengan sokongan “Incognito”.
Buat masa ini, ChatGPT Atlas hanya ditawarkan untuk pengguna macOS sahaja, dan dijangka diperluaskan ke pengguna lain tidak lama lagi. Bagi anda yang berminat, boleh memuat-turun ChatGPT Atlas hari ini melalui laman rasminya. Pengguna akan perlu log masuk ke pelayar web berkenaan sebelum boleh menggunakannya.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






