Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) mengkritik kenyataan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim berhubung prinsip tanggungjawab kolektif kabinet, dengan mendakwa pandangan tokoh veteran PKR itu mengabaikan realiti perjuangan panjang Sabah untuk hak-hak perlembagaannya.
Setiausaha Agung Upko, Nelson W Angang berkata kenyataan Hassan yang mempersoalkan kewajaran seorang menteri menyatakan rasa tidak setuju dengan kerajaan berhubung hak Sabah untuk menerima 40 peratus hasil adalah sesuatu yang “amat mengejutkan” kerana ia datang daripada seorang pemimpin berpengalaman.
Katanya, sistem kabinet Malaysia mengikut model Westminster, di mana menteri-menteri yang tidak dapat menyokong keputusan kerajaan atas dasar prinsip akan meletak jawatan.
“Tindakan sedemikian bukan bentuk ugutan atau percubaan untuk mengikat kerajaan.
“Ia mencerminkan integriti dan kepatuhan kepada prinsip yang membentuk asas demokrasi berparlimen,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Hassan mendakwa beberapa pemimpin Sabah cuba mengugut kerajaan Persekutuan dengan mengancam untuk letak jawatan sekiranya Putrajaya memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi.
Dia mengulas kenyataan Presiden Upko, Ewon Benedict yang menyatakan kesediaannya untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi jika Putrajaya memfailkan rayuan terhadap keputusan bersejarah Mahkamah Tinggi yang mengesahkan hak perlembagaan Sabah ke atas 40 peratus hasil Persekutuan yang dikutip dari negeri itu.

Angang berkata peletakan jawatan atas isu-isu prinsip adalah perkara biasa di United Kingdom, dan kejujuran terhadap keyakinan politik seseorang kekal menjadi ciri utama tadbir urus dalam demokrasi.
Katanya, pendirian Ewon dalam isu itu selaras dengan dasar partinya yang sekian lama menyokong pelaksanaan penuh Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan hak hasil 40 peratus untuk Sabah.
“Komitmen Ewon terhadap MA63 didokumenkan dengan baik dan termaktub dalam perlembagaan Upko.
“Sekiranya seorang menteri tidak dapat menyokong keputusan kerajaan yang bercanggah dengan prinsip yang telah lama mereka perjuangkan, maka berundur adalah langkah yang terhormat,” katanya lagi.
Angang berkata Jabatan Peguam Negara tidak perlu merayu untuk semua keputusan mahkamah walaupun ia ada hak untuk untuk berbuat demikian.
Dia menggesa pemimpin di Semenanjung untuk memahami sentimen Sabah dan Sarawak mengenai MA63 dan penghakiman Mahkamah Tinggi baru-baru ini.
“Kerajaan Persekutuan gagal menunaikan perkara ini sejak 1973. Keputusan ini memberikan peluang untuk semua rakyat Malaysia bergerak ke hadapan bersama, menghormati semangat MA63 dan hak-hak yang termaktub dalam Perlembagaan kita,” katanya lagi.






