KUALA LUMPUR: Sebanyak 81,880 saman telah dikeluarkan kepada pengguna jalan raya di ibu kota dalam tempoh 20 hari pelaksanaan Operasi Patuh Undang-Undang (Op PUU) sejak 1 Oktober.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus menyifatkan jumlah ini sebagai amat membimbangkan dan menunjukkan sikap sambil lewa terhadap pematuhan undang-undang trafik.
Beliau berkata walaupun kempen advokasi dan pemantauan telah dijalankan selama sebulan sebelum tindakan saman, masih ramai pengguna jalan raya enggan mengubah sikap.
“Jika trend ini berterusan dalam tempoh tiga hingga enam bulan akan datang, ia menunjukkan kempen dan program dilaksanakan gagal memupuk perubahan tingkah laku,“ katanya.
Pemandu kereta merupakan golongan tertinggi dikenakan saman iaitu 66,859 saman, diikuti penunggang motosikal (11,346 saman).
Kesalahan paling banyak direkodkan ialah halangan lalu lintas dengan 54,364 saman dan ingkar isyarat lalu lintas (16,891 saman).
Kesalahan lain termasuk memandu tanpa lesen atau lesen tamat tempoh (2,388 saman), cukai jalan tamat tempoh (1,501 saman), dan kesalahan pejalan kaki (1,042 saman).
Fadil berkata Op PUU akan terus dilaksanakan secara menyeluruh dan berterusan sepanjang tahun dengan penglibatan pelbagai agensi serta jabatan berkaitan.
“Kita mahu warga kota membudayakan sikap berdisiplin yang mencerminkan rasa hormat terhadap undang-undang termasuk peraturan trafik yang dianggap kecil,“ katanya.
Operasi kini diperluaskan dari kawasan hotspot kepada semua kawasan di Kuala Lumpur dengan penglibatan setiap balai dan ibu pejabat polis daerah. – Bernama






