Malaysia Oversight

JPJ keluarkan 3,910 saman kepada pemandu Singapura kerana tiada RFID

By TheSun in October 21, 2025 – Reading time 1 minute
JPJ keluarkan 3,910 saman kepada pemandu Singapura kerana tiada RFID


KOTA BHARU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan 3,910 saman dengan kutipan kompaun sebanyak RM1.173 juta terhadap kenderaan persendirian warga Singapura sejak 1 Julai hingga semalam.

Saman dikenakan kerana kegagalan memasang tag Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) Permit Kemasukan Kenderaan Asing.

Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata setiap kenderaan dikenakan saman RM300 dan operasi dilakukan di tiga lokasi.

“Kami mengenakan nilai saman yang maksimum dan pemandu warga Singapura ini telah diarahkan untuk membayar serta-merta,“ katanya selepas Kursus Pemanduan Efisien kepada Pemandu di Kompleks Kota Darulnaim.

Operasi penguatkuasaan dijalankan di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) serta Taman Daya di Johor.

Sebanyak 1,765 saman dikeluarkan di BSI, manakala KSAB mencatat 2,064 saman dan Taman Daya merekodkan 81 saman.

JPJ turut mengeluarkan 1,269 notis peringatan kepada kenderaan persendirian syarikat dalam tempoh yang sama.

Muhammad Kifli berkata ini merupakan kejayaan besar berbanding sebelum ini apabila JPJ tidak dapat mengutip kompaun saman daripada pemandu warga Singapura.

Beliau menjelaskan sebelum ini ramai yang menangguh dan enggan bayar apabila pulang ke negara mereka sehingga menyebabkan saman tidak dapat diselesaikan.

“Tetapi apabila kami arahkan mereka bayar serta-merta dan akan sita kenderaan jika tidak bayar, ia dilihat berkesan dan semua pemandu yang disaman akur dengan tindakan yang dilakukan pihak kami,“ katanya. – Bernama



Source link