Lapan individu selesai memberikan keterangan kepada polis berhubung insiden pengibaran bendera Israel ketika program 500 Pelayaran Solidariti Kelantan Untuk Gaza di Lembah Sireh, Kota Bharu pada 10 Okt lalu.
Ketua Polis Kelantan Mohd Yusoff Mamat berkata individu terbabit terdiri daripada penganjur, pelakon, pengiklan dan pencetak bendera berkenaan.
Katanya walaupun tindakan itu dilakukan untuk tujuan lakonan, ia tetap suatu kesalahan kerana melibatkan simbol sensitif, selain Israel tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Malaysia.
“Walaupun kononnya dibuat untuk tujuan lakonan semula atau sketsa, ia tetap satu kesalahan kerana boleh mencetuskan kekeliruan dan isu sensitif dalam kalangan masyarakat.
“Kita (polis) tidak mahu rakyat tersalah faham dan kertas siasatan berhubung perkara ini telah lengkap dan akan diserahkan kepada pegawai pendakwa raya negeri untuk tindakan lanjut sebelum dihantar ke Putrajaya,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan hari ini.
Mohd Yusoff juga berkata bendera Israel yang digunakan itu bukan dibeli secara dalam talian sebaliknya dicetak sendiri dan polis telah merampas bendera berkenaan.
Pada 10 Okt lalu sebuah bot yang memasang beberapa bendera Israel melakukan lakonan semula insiden penahanan bot sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) ketika dalam pelayaran menuju ke Gaza.

Program anjuran Pertubuhan Anak Muda Bangkit Malaysia itu disertai hampir 10,000 peserta yang menaiki bot masing-masing dan berarak dari Kampung Pulau Pisang hingga Lembah Sireh, meliputi jarak sejauh lapan kilometer sebagai tanda solidariti terhadap Palestin.
Sementara itu, Mohd Yusoff berkata, polis akan menyiasat dakwaan pihak berkuasa Thailand mengenai kumpulan penjenayah terlibat dalam rompakan kedai emas di sebuah pasar raya di pekan Sungai Golok, telah melarikan diri ke Malaysia.
Bagaimanapun, katanya, polis Kelantan belum menerima sebarang permohonan rasmi daripada pihak berkaitan di Thailand berhubung kes berkenaan.
“Setakat ini, tiada permintaan rasmi daripada mereka untuk kita bantu siasatan.
“Dakwaan itu dibuat berdasarkan penemuan beberapa barangan di tepi sungai berhampiran sempadan kita, namun polis tetap akan semak dan siasat kemungkinan suspek berada di Malaysia.
“Kami sedia bekerjasama melalui saluran rasmi seperti Interpol atau mesyuarat dua hala keselamatan yang memang diadakan dari semasa ke semasa,” katanya.
Pada 5 Okt lalu media melaporkan 10 lelaki bersenjatakan raifal M16 dan AK104 melarikan barang kemas bernilai hampir RM3.11 juta selepas merompak di pasar raya berkenaan.
Kejadian kira-kira jam 6.30 petang (waktu Thailand) itu berlaku ketika orang ramai sedang membeli-belah di pasar raya berkenaan.
– Bernama






