Malaysia Oversight

Polis tahan dua lelaki bantu siasatan

By MkiniBM in October 20, 2025 – Reading time 1 minute
malaysiakini logo


Polis menahan dua lagi lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes seorang wanita yang ditemukan bersama anak perempuannya di sebuah rumah di Kampung Sekolah Juru di Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang Azizee Ismail berkata kedua-dua lelaki berusia 40-an itu termasuk seorang warga asing ditahan secara berasingan di Bukit Mertajam hari ini.

“Polis akan membawa kedua-duanya ke mahkamah esok untuk proses reman dan kita percaya mereka dapat membantu siasatan kes berkenaan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Azizee berkata polis juga sedang mengenal pasti sama ada terdapat individu lain yang terlibat dalam kes pembunuhan dua beranak berkenaan dengan siasatan terperinci sedang dijalankan termasuk bagi mengetahui motif.

Media sebelum ini melaporkan mayat wanita dan anak perempuannya itu ditemukan dalam keadaan menyayat hati di sebuah rumah di Kampung Sekolah Juru, dipercayai menjadi mangsa pembunuhan.

Azizee dilaporkan berkata mayat wanita berusia 51 tahun yang merupakan peniaga kuih dan anaknya berusia 11 tahun ditemukan suaminya yang pulang ke rumah kira-kira 7.30 malam dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ekoran kejadian itu, polis telah menahan reman suami wanita terbabit yang berusia 57 tahun selama seminggu hingga 25 Okt bagi membantu siasatan.

-Bernama



Source link