BAITULMUQADDIS: Tentera Israel melancarkan serangan terbaharu terhadap Gaza pada Ahad, menurut laporan media dan penduduk tempatan, sekaligus menguji gencatan senjata yang dimediasi Amerika Syarikat (AS) sejak berkuat kuasa 11 Oktober lalu.
Penduduk di Rafah, selatan Gaza, melaporkan mendengar letupan dan tembakan, manakala saksi di Abassan, berhampiran Khan Younis, menyatakan terdapat tembakan berat dari kereta kebal Israel. Satu lagi gelombang serangan udara dilaporkan menyasarkan Rafah awal petang Ahad.
Jurucakap kerajaan Israel tidak mengesahkan serangan dan merujuk pertanyaan kepada pihak tentera, yang belum mengeluarkan kenyataan rasmi.
Pihak berkuasa kesihatan Gaza mengesahkan dua rakyat Palestin maut dalam serangan udara Israel di kawasan timur Jabalia, Gaza Utara.
Media Israel melaporkan serangan udara Israel ke atas Rafah berlaku selepas kumpulan bersenjata menyerang pasukan tentera di kawasan tersebut.
Seorang pegawai tentera Israel berkata Hamas melakukan beberapa serangan terhadap pasukan Israel dalam Gaza, termasuk menggunakan roket dan penembak tepat, dan menyifatkannya sebagai “pelanggaran terang-terangan” terhadap gencatan senjata.
Namun begitu, pegawai kanan Hamas, Izzat Al-Risheq, menegaskan kumpulan itu masih komited terhadap perjanjian gencatan senjata, dan sebaliknya menuduh Israel yang kerap melanggarnya.
“Kami tidak ada sebarang kaitan dengan kejadian atau pertempuran yang berlaku di kawasan Rafah.
“Sejak Mac lalu, hubungan kami dengan kumpulan-kumpulan yang berada di sana terputus sepenuhnya. Kami tidak ada apa-apa bentuk komunikasi dengan mana-mana pejuang di kawasan tersebut, jika masih ada yang hidup,” jelas Hamas.
Sementara itu, lintasan sempadan Rafah antara Gaza dan Mesir masih ditutup, dengan kerajaan Israel menegaskan ia tidak akan dibuka semula sehingga Hamas menyerahkan kesemua mayat tebusan yang masih berada di Gaza.
Setakat ini, Hamas telah menyerahkan 20 tebusan hidup dan 12 mayat daripada 28.
Hamas menyatakan proses mencari baki mayat memerlukan masa dan peralatan khas, kerana kebanyakannya tertimbus di bawah runtuhan bangunan.






