“Karya agung adalah cermin akal budi bangsa; tempat budi disemai dan maruah dipatri.”
Dalam sejarah panjang tamadun Melayu, karya agung bukan sekadar teks sastera atau catatan zaman lampau. Ia adalah wadah ilmu, moral, dan panduan kehidupan.
Daripada Hikayat Hang Tuah ke Sulalatus Salatin, daripada Hikayat Raja Pasai hingga Taj al-Salatin, setiap baris dan bab menyiratkan falsafah hidup yang membentuk roh bangsa tentang adab, kepimpinan, kesetiaan, dan hikmah.
Dalam dunia moden yang dikuasai teknologi, nilai yang terkandung dalam karya agung menjadi mercu arah yang menuntun manusia kepada keseimbangan.
Tatkala dunia bergerak pantas dalam pusaran kecerdasan buatan dan algoritma, hikmah yang tersirat dalam karya lama ini menegaskan bahawa kemajuan tidak pernah harus memutuskan akar tradisi.
Pada 23 hingga 25 Oktober ini , Yayasan Karyawan akan menganjurkan Persidangan Antarabangsa Karya Agung Melayu (PAKAM) 2025 yang bertemakan “Menghayati Karya Agung Melayu Melalui Penyatuan Elemen Tradisi dan Teknologi dalam Era Digital”.
Persidangan ini hadir tepat pada waktunya. Ia bukan sekadar wacana akademik, tetapi medan muhasabah tentang bagaimana bangsa ini menempatkan warisannya di tengah dunia digital.
Yayasan Karyawan setelah hampir tiga dekad menjadi penerbit terulung dalam usaha memartabatkan karya agung Melayu, sekali lagi menzahirkan komitmen terhadap kelestarian intelektual ini. Melalui PAKAM, Yayasan Karyawan bukan hanya mengumpulkan sarjana dan pengkaji, tetapi mempertemukan hikmah tradisi dengan daya cipta teknologi.
Teknologi sebagai Jambatan, Bukan Pengganti
Perbahasan utama dalam PAKAM berlegar sekitar penyatuan antara nilai tradisi dan inovasi teknologi.
Dalam ucaptama bertajuk “Karya Agung Melayu: Penyatuan antara Tradisi dan Teknologi”, Profesor Emeritus Abdullah Zakaria Ghazali akan mengupas bahawa karya agung perlu terus hidup dalam bentuk yang mampu diakses generasi baharu. Baginya, teknologi digital bukan pengganti manuskrip, tetapi jambatan yang membawa isi kandungan warisan kepada khalayak yang lebih luas.
Idea ini turut disambut oleh Profesor Yulianeta daripada Indonesia melalui kajian daripada Transformasi Manuskrip Nusantara melalui Animasi.
Dalam kertas kerjanya, beliau menegaskan bahawa visualisasi digital dalam bentuk animasi, interaktif, atau gamifikasi mampu menghidupkan kembali teks klasik yang sebelum ini hanya terperap di rak-rak perpustakaan.
Dalam erti lain, teknologi memberi roh baharu kepada warisan yang lama.
Ampuan Dr. Brahim Ampuan Tengah dan Amer Hudhaifah Hamzah pula akan menampilkan sisi Brunei melalui makalah
“Silsilah Raja-Raja Brunei sebagai Karya Agung Melayu Brunei”, memperlihatkan kesinambungan warisan politik dan budaya Melayu yang masih berdenyut di tanah Borneo.
Hikmah besar yang dapat dipetik ialah tradisi tidak harus ditakuti oleh teknologi, dan teknologi pula tidak boleh bersikap angkuh terhadap tradisi. Kedua-duanya perlu bersatu dalam ekosistem ilmu yang seimbang. Seperti kata pepatah Melayu: Yang lama jangan dilupa, yang baharu jangan ditolak.”
PAKAM menjadi wadah yang mempertemukan ramai sarjana daripada Malaysia, Indonesia, Brunei, Belanda dan juga dunia Islam.
Daripada bidang filologi hingga teknologi maklumat, setiap pembentangan memperlihatkan keluasan pemikiran Melayu yang merentasi sempadan masa dan geografi.
Dr. Mardiana Nordin pula akan menelusuri sejarah naskhah Tuhfat al-Nafis versi Terengganu yang memperlihatkan pensejarahan unik Melayu-Islam di alam Melayu Timur. Makalah beliau menegaskan bahawa karya agung bukan hanya dokumen sejarah, tetapi refleksi kebijaksanaan politik dan pemikiran bangsa.
Dari Universiti Leiden, Dr. Surya Suryadi akan mengupas tentang Menjayakan Karya Agung Melayu di Arena Antarabangsa dan Mempromosikannya sebagai UNESCO Memory of the World”.
Usaha ini membuka ruang kepada pengiktirafan global bahawa karya Melayu juga merupakan warisan dunia.
Sementara itu, dari Malaysia, Dr. Nor Hasni Che Hassan dan Fatimah Abdul Hai memperincikan pendekatan Perpustakaan Negara Malaysia dalam mengetengahkan koleksi karya agung kepada masyarakat. Inisiatif digital dan pameran maya menjadikan teks lama ini mudah diakses oleh pelajar dan penyelidik.
Kesemua pembentangan ini menggambarkan satu semangat yang sama — menghidupkan kembali ilmu warisan dalam bentuk yang dapat difahami dan dihargai oleh dunia moden.
Di tengah dunia yang dikuasai data, karya agung Melayu tetap berdiri sebagai benteng hikmah. Hikayat Hang Tuah misalnya, mengajar makna setia dan maruah; Taj al-Salatin menekankan adab dan amanah dalam kepemimpinan; Sulalatus Salatin mengingatkan bahawa keagungan sesebuah bangsa tidak akan kekal tanpa kebijaksanaan dan keadilan.
Dalam konteks hari ini, hikmah itu boleh diterjemahkan dalam cabaran baharu apabila manusia perlu menilai semula hubungan antara kemajuan dan kemanusiaan. Karya agung menegaskan bahawa teknologi tanpa adab akan melahirkan tamadun tanpa jiwa.
Sebagaimana kata-kata sarjana klasik Melayu: “Ilmu itu suluh kehidupan; hilang suluh, gelaplah jalan.”
Maka penyelidikan, transliterasi, dan penerbitan semula karya agung adalah satu bentuk penyuluhan — untuk memastikan bangsa ini tidak berjalan dalam gelap di tengah gemerlap teknologi.
Menjunjung Amanah Tradisi dan Inovasi
Dalam persidangan ini juga hadir pembentangan yang menggabungkan etnosains dan kecerdasan buatan. Hazlina Selamat bersama rakan-rakannya memperkenalkan potensi AI dalam transliterasi karya agung Melayu — satu pendekatan baharu yang menjimatkan masa dan mengurangkan ralat manusia.
Junaini Kasdan pula melihat kedudukan karya agung dalam ekosistem Model Bahasa Besar (LLM), satu perkembangan yang menunjukkan bahasa Melayu kini memasuki era kecerdasan buatan dengan landasan nilai budayanya sendiri.
Pembentangan oleh Mohammad Alinor Abdul Kadir tentang “Sains Penghujahan (Silogisme) dalam Teks Kesusasteraan Melayu” pula menunjukkan bahawa rasionaliti logik bukan perkara asing dalam pemikiran Melayu, malah telah lama wujud dalam teks klasik.
Begitu juga Dr. Ab. Razak Ab. Karim yang meneliti Materia Medika dalam perubatan Melayu dan Cina — menunjukkan dunia Melayu sudah lama berfikir secara saintifik, cuma dalam bingkai hikmah yang berbeza.
PAKAM 2025 tidak hanya akan merumuskan penemuan akademik, tetapi menyeru kepada satu kesedaran kebangsaan: bahawa tradisi tidak harus dipandang ke belakang, tetapi ke hadapan — kerana di situlah letaknya jati diri bangsa.
Yayasan Karyawan, melalui peranan besarnya sebagai penerbit dan penjaga warisan, telah membuktikan bahawa usaha melestarikan karya agung bukan sekadar kerja penerbitan, tetapi satu amanah peradaban. –UTUSAN
Dr. Roosfa Hashim ialah Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan






