Lelaki yang ditahan kerana menyerang bekas Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Tan Sri Prof Emeritus Dzulkifli Abdul Razak, awal pagi semalam di Taman Pekaka, di George Town, direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes itu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Abdul Rozak Muhammad berkata perintah reman terhadap lelaki tempatan berumur 52 tahun itu bermula dari hari ini hingga 24 Okt.
“Lelaki yang mempunyai tiga rekod lampau berkaitan jenayah dan 10 rekod kesalahan jenayah narkotik itu kini direman dan polis sedang menjalankan siasatan lanjut kes tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.
Semalam, media melaporkan dalam kejadian yang berlaku pada 6.45 pagi itu, mangsa berusia 74 tahun pulang ke rumah dari masjid selepas selesai menunaikan solat subuh dan apabila tiba di hadapan rumah, mangsa menyedari kehadiran seorang lelaki disyaki warga tempatan bersembunyi di tepi halaman rumahnya.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail dilaporkan berkata sebaik mangsa menghampiri, suspek tiba-tiba mengacukan objek berwarna hitam ke arahnya sebelum menyerang mangsa dengan objek berkenaan.
Beliau berkata kejadian itu telah mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan luka di bahagian kepala dan menerima 16 jahitan di sebuah klinik berhampiran dan polis berjaya menahan suspek di Bayan Baru pada 2.30 petang.
– Bernama






