Saluran Telegram pendedah maklumat Edisi Siasat hari ini menyiarkan satu klip video yang didakwa menunjukkan Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Joachim Gunsalam, berbincang mengenai wang dengan ahli perniagaan, Albert Tei.
Menurut kapsyen pada permulaan klip dan cap masa (timestamp) video tersebut, perbincangan itu didakwa berlaku tahun lalu di pejabat Joachim di Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah di Kota Kinabalu.
Konteks penuh perbualan itu tidak dinyatakan dengan jelas, namun difahamkan ia berkaitan dengan projek cari gali mineral yang telah dibatalkan.
“Saya ada bagi Datuk RM550,000 semua. Saya ada tengok balik akaun, sebelum saya jumpa Datuk saya ada tengok balik akaun.
“Saya sudah bagi Datuk 550,000. Ada sekali RM300,000, ada sekali RM150,000, ada sekali RM50,000, di KL ada RM50,000.
“RM550,000 saya sudah bagi Datuk. Saya bagi Datuk tu wang kecil, ok. Ini RM11 juta tau, saya mesti kena saman punya, semua akan cakap saya penipu,” Albert kedengaran berkata kepada Joachim.

Sebagai respons, menteri Sabah itu kedengaran menjawab, “kita semak dulu.”
Albert yang mengesahkan bahawa dia adalah individu dalam rakaman itu, berkata RM11 juta yang disebut merujuk kepada pelaburan modal yang dikeluarkan syarikatnya untuk projek cari gali mineral di Sabah.
Dia menjelaskan bahawa dia takut akan disaman oleh rakan-rakan perniagaannya selepas projek tersebut dibatalkan.
Dalam bahagian lain video itu, Joachim kedengaran berkata kepada Albert bahawa dia akan cuba membantu ahli perniagaan tersebut.
“Try to reduce kau punya burden or see how to manage this thing la (cuba kurangkan beban kau atau tengok macam mana nak uruskan hal ini),” kata Joachim.
‘Ia sumbangan politik’
Ketika dihubungi, Joachim menegaskan bahawa semua wang yang disalurkan oleh Albert adalah sumbangan politik kepada PBS.
Ahli politik itu memberitahu Malaysiakini bahawa dia tidak ingat jumlah sebenar wang yang diterima daripada Albert setakat ini, namun menafikan jumlahnya mencecah RM600,000.
“Dia seorang ahli perniagaan, itu sumbangan politik, jadi kenapa?
“Berapa banyak pun, saya rasa tak sampai RM600,000. Tapi sebab saya pun bukan terima secara langsung, ok? Ia diterima oleh jentera parti saya.
“Terima kasihlah bagi sumbangan,” kata Gunsalam.
Menurut Joachim, parti itu juga bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa.
“Apa yang boleh saya katakan ialah kami terbuka dan akan beri kerjasama penuh kepada pihak berkuasa jika ada sebarang dakwaan.
“Tapi di Malaysia saya rasa sumbangan politik masih diterima,” katanya.
Bahagian kedua video
Sementara itu, bahagian kedua klip video berkenaan memaparkan perbualan antara Albert dan seorang pembantu kepada Joachim, yang didakwa menyaksikan sendiri semua pemberian wang tersebut.

Malaysiakini telah menghubungi individu berkenaan dan tidak menyiarkan namanya sementara menunggu respons.
“Bagi Dr Joachim la, saya hantar RM500,000. Sebab apa yang saya minta dapat ma, lesen.
“Lepas tu ada la sponsor-sponsor, itu tak kira.., semua saya bagi boss sudah RM600,000.
“Bro you ada maa. You ada, berapa kali pun you ada maa, sebab apa-apa saya mesti call bro maa, saya minta bro atur maa,” kata Albert.
Pembantu tersebut bersetuju dengan kenyataan Albert dan menyebut tentang sebuah kompleks beli-belah di Kota Kinabalu tempat mereka pernah berjumpa sebelum ini.






