Umno Johor menuduh Parti Amanah Negara (Amanah) lebih sibuk mengejar pembahagian kerusi pilihan raya berbanding menumpukan khidmat kepada rakyat, susulan kenyataan Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Dzulkefly Ahmad yang menolak rundingan kerusi dengan BN.
Ketua Penerangan Umno Johor, Md Israk Abdullah berkata tiada halangan buat Dzulkefly atau Amanah Johor untuk bertanding di mana-mana kerusi — termasuk menentang BN — jika benar mereka yakin dengan kekuatan sendiri di negeri itu.
“Jika benar beliau begitu yakin dengan kekuatan Amanah di Johor, maka sila bertanding di mana-mana kerusi termasuk menentang BN kerana Umno Johor sentiasa bersedia.,” katanya pada kenyataan hari ini.
Md Israk mendakwa Dzulkefly merupakan satu-satunya pemimpin Amanah yang bising soal kerusi, sedangkan kepimpinan pusat parti itu masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi.

“Apa yang menarik, Dzulkefly Ahmad seorang sahaja yang meroyan tentang kerusi, sedangkan tiada satu pun kenyataan rasmi daripada kepimpinan tertinggi Amanah Pusat yang memperkatakan soal agihan kerusi di Johor.
“Nampaknya, isu kerusi ini lebih menjadi obsesi peribadi beliau, bukan dasar rasmi partinya,” ujarnya.
Pada 15 Oktober lalu, Dzulkefly berkata Amanah Johor berpendapat rundingan pembahagian kerusi antara Harapan dan BN di Johor tidak lagi relevan, kerana kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan tidak wujud di peringkat negeri.
“Sebaliknya, Amanah Johor akan meneruskan persiapan untuk bertanding di semua kerusi DUN tanpa menunggu sebarang rundingan atau tawaran daripada komponen PH atau BN,” katanya.

Dalam PRN Johor 2022, BN menang 40 daripada 56 kerusi DUN manakala PH memperoleh 12 kerusi — dengan DAP menang 10, PKR dan Amanah masing-masing satu.
Md Israk turut mempersoalkan rekod perkhidmatan Dzulkefly ketika menjadi Adun Iskandar Puteri dan exco perumahan dan kerajaan tempatan, dengan mendakwa tiada legasi jelas yang ditinggalkannya.
“Sebab itulah pada PRN Johor lalu, rakyat Kota Iskandar menolak Dzulkefly Ahmad dalam PRN yang lepas kerana pengundi Johor matang dan tahu menilai antara pemimpin yang bekerja dan pemimpin yang hanya pandai bercakap,” katanya.
Dia turut membandingkan Dzulkefly dengan wakil rakyat BN, termasuk Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Jafni Shukor, serta Adun Kota Iskandar Pandak Ahmad, yang disifatkan aktif menunaikan tanggungjawab di kawasan masing-masing.

“Dalam keadaan kerajaan negeri sibuk melaksanakan pelbagai inisiatif untuk menyelesaikan masalah rakyat, beliau pula sibuk menuntut kerusi.
“Ini bukti sikap kemaruk kuasa dan tidak mementingkan rakyat Johor,” katanya.
Md Israk menyeru pengundi Johor menilai sendiri sikap Dzulkefly.
“Adakah ini wajah pemimpin yang kononnya mahu membawa pembaharuan? Atau hanya pemimpin yang ghairah mengejar jawatan? Johor memerlukan pemimpin yang bekerja, bukan yang hanya berpolitik 24 jam,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pemuda Umno Johor, Mohd Syes Mohamed, turut menyelar kenyataan Dzulkefly, yang disifatkannya angkuh, taksub dengan kerusi dan buta terhadap realiti politik Johor.
“Kenyataan beliau jelas memperlihatkan sikap sombong, ketaksuban terhadap kerusi, serta kealpaan terhadap realiti politik semasa negeri Johor,” katanya dalam kenyataan berasingan.
Menurut Syes, kekalahan Dzulkefly dalam PRN Johor lalu bukan kerana peratusan keluar mengundi rendah, seperti didakwanya, tetapi kerana pengundi menolak wakil rakyat yang tidak berprestasi.
“Lebih mengecewakan, dalam keadaan Kerajaan Negeri Johor dan Umno sedang berusaha keras membawa pelaburan, melaksanakan dasar pro-rakyat dan menyelesaikan pelbagai isu semasa, Dzulkefly Ahmad pula sibuk menari di pentas kerusi, bukan turun ke lapangan. Ini membuktikan beliau lebih cintakan jawatan daripada perjuangan untuk rakyat,” sindirnya.






