Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana pihak yang cuba mempolitikkan atau mempolemikkan isu pemberian bantuan kerajaan berdasarkan kaum.
Katanya, semua dasar dan peruntukan yang dilaksanakan oleh kerajaan perpaduan dibuat berdasarkan keperluan rakyat tanpa mengira latar etnik, agama atau wilayah.
“Jangan bawa polemik bantuan ikut kaum. Kita bantu semua yang layak tanpa mengira bangsa. Kalau dia miskin tegar, dia berhak mendapat bantuan kerajaan.
“Kalau kita terus biarkan politik perkauman berleluasa, kita akan rugi sebagai bangsa.
“Jangan terikut dengan naratif kaum yang hanya melemahkan kita.
“Apa yang penting, kita jangan biar isu ini dijadikan polemik politik yang memecah-belahkan rakyat. Kita harus bersatu untuk membina Malaysia yang adil dan makmur,” katanya.
Anwar berucap di majlis Rumah Terbuka Deepavali Madani 2025 di Brickfields, di hadapan lebih 2,000 hadirin daripada pelbagai kaum.
Dia menegaskan memanipulasi isu kaum dalam pemberian bantuan hanya akan menggugat keharmonian dan perpaduan negara.
“Persepsi segelintir pihak yang menuduh kerajaan berat sebelah apabila meluluskan projek pembangunan di negeri tertentu seperti Pulau Pinang, yang majoritinya bukan Melayu.
“Kalau diumumkan projek di Pulau Pinang, terus diserang kononnya kerajaan pilih kasih.
Padahal negeri lain juga dapat peruntukan besar.
“Contohnya, lapangan terbang di Kota Bharu dan Tawau turut dibesarkan. Namun, masih dituduh macam-macam,” katanya.
Menurut Anwar, kerajaan turut memperuntukkan dana besar bagi membantu golongan miskin tegar di seluruh negara tanpa mengira kaum, termasuk di kawasan majoriti Melayu seperti Kelantan dan kawasan majoriti India seperti Sentul serta Klang.
“Kita telah belanja berbilion ringgit untuk tangani kemiskinan. Di Kelantan ramai Melayu miskin, di Sentul dan Klang ramai India.
“Kedua-duanya dibantu kerana mereka miskin, bukan kerana mereka Melayu atau India,” katanya.
Anwar turut mengulangi komitmen kerajaan terhadap bantuan untuk masyarakat India, termasuk peningkatan peruntukan untuk jaminan kredit rumah.
“Bagi tahun depan, peruntukan bagi jaminan kredit rumah masyarakat India akan ditambah kepada RM1.6 bilion.
“Ini langkah besar, tapi ia tidak dibawa dalam naratif umum,” katanya.
Ucapan Anwar menyeru rakyat untuk menolak politik perkauman, memperkukuh perpaduan nasional, dan menyokong dasar berasaskan keperluan serta keadilan sosial demi membina Malaysia yang inklusif.






