PANDUANKINI | Keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung hak Sabah terhadap 40 peratus hasil Persekutuan yang diperolehi dari negeri itu disifatkan sebagai bersejarah – tetapi apa sebenarnya yang diputuskan mengenainya?
Berikut perkara-perkara penting yang anda perlu tahu:
Siapa failkan saman dan kenapa?
Semakan kehakiman ini dimulakan oleh Sabah Law Society (SLS) pada 2022. Kerajaan Sabah kemudiannya memohon untuk menjadi responden tambahan.
Mereka berhujah bahawa kerajaan persekutuan telah melanggar tanggungjawab perlembagaannya untuk memberikan Sabah 40 peratus daripada hasil persekutuan yang diperolehi dari negeri itu.
Asas hujah
Selama beberapa dekad, dua Perkara berikut menjadi teras perdebatan mengenai hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Sabah berhak menerima 40 peratus hasil persekutuan yang diperolehi dari negeri itu, manakala Perkara 112D mewajibkan kerajaan Persekutuan dan negeri untuk mengkaji semula jumlah yang diberikan setiap lima tahun.
Namun, tafsiran sebenar kedua-dua peruntukan ini — dan bagaimana ia harus dilaksanakan — telah lama menjadi pertikaian antara aktivis MA63, peguam perlembagaan, dan antara Peguam Besar Negeri Sabah dan Peguam Negara.
Baca: Mahkamah: Kerajaan gagal tunai hak 40 peratus hasil Sabah
Apa keputusan Mahkamah Tinggi?
Hakim Celestina Stuel Galid memutuskan bahawa kegagalan kerajaan persekutuan untuk membuat semakan sejak tahun 1974 adalah tidak berperlembagaan.
ketika membacakan keputusan, Celestina mengisytiharkan bahawa perintah pemberian khas yang dikeluarkan bersama oleh kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri adalah “tidak sah, ultra vires (melampaui kuasa) dan tidak rasional”, sekali gus melanggar Perlembagaan.
Mahkamah juga menegaskan hak 40 peratus Sabah adalah hak perlembagaan yang mengikat, bukan perkara yang boleh dirunding secara politik atau ditangguh tanpa had masa.
‘Tahun-tahun yang hilang’?
“Tahun-tahun yang hilang” merujuk kepada tempoh 48 tahun tiada semakan dilakukan, iaitu antara 1974 hingga 2021.
Dalam tempoh itu, Sabah hanya menerima jumlah tetap RM26.7 juta setahun, walaupun hasil persekutuan dari negeri itu terus meningkat.

Jumlah ini ditetapkan melalui perintah semakan pada 1970, yang hanya dibatalkan pada 2022 apabila perintah baru dengan bayaran yang meningkat secara berperingkat diwartakan.
Celestina menyifatkan keadaan itu sebagai sangat bermasalah, kerana kerajaan Persekutuan gagal mengemukakan sebarang bukti bahawa sebarang semakan atau mesyuarat telah dijalankan sepanjang tempoh itu.
Bagaimana mahkamah tafsir Perlembagaan?
Kerajaan Persekutuan berhujah bahawa perintah semakan 1970 tetap sah sehinggalah ia dibatalkan, dan oleh itu tiada pelanggaran berlaku.
Namun mahkamah tidak bersetuju.
Celestina menyifatkan hujah itu sebagai “tidak munasabah dan tidak masuk akal” kerana Perlembagaan jelas menyatakan bahawa setiap semakan mesti mencerminkan kedudukan kewangan pada masa semakan dibuat.
Katanya, salah jika klausa tersebut ditafsirkan seolah-olah kerajaan boleh menangguhkan semakan selama-lamanya.
Dia juga menegaskan bahawa dokumen asas penubuhan Malaysia – termasuk Suruhanjaya Cobbold, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), dan MA63 – mesti dijadikan panduan dalam menafsirkan peruntukan dalam Perlembagaan, kerana ia menjelaskan tujuan sebenar klausa 40 peratus itu: Untuk membantu Sabah membiayai pembangunan dan mengurangkan ketidaksamarataan.
Apa perintah yang dikeluarkan mahkamah?
Mahkamah membatalkan tiga perintah semakan persekutuan — 2022, 2023 dan 2025 — kerana dianggap tidak sah dan bercanggah dengan Perlembagaan kerana dibuat tanpa proses semakan sebenar.
Mahkamah turut mengeluarkan perintah mandamus yang mengarahkan kerajaan Persekutuan supaya mengadakan semakan yang sebenar-benarnya bersama kerajaan Sabah dalam tempoh 90 hari selepas keputusan mahkamah, dan mencapai persetujuan dalam tempoh 180 hari selepasnya.
Mengapa keputusan ini sangat penting?
Ini adalah kali pertama mahkamah di Malaysia mentafsir secara jelas maksud sebenar Perkara 112C dan 112D.
Keputusan itu mengesahkan bahawa hak 40 peratus adalah kewajiban perlembagaan, bukan ihsan politik atau budi bicara kewangan.

Ia juga menyifatkan kegagalan kerajaan Persekutuan selama berdekad-dekad untuk mengadakan semakan merupakan pelanggaran tanggungjawab perlembagaan.
Dengan berpandukan kepada semangat MA63, mahkamah turut menegaskan jaminan kewangan yang diberikan kepada Sabah sejak 1963 masih mempunyai kuasa undang-undang yang sah hingga hari ini.
Apa seterusnya?
Peguam kerajaan Persekutuan telah menyatakan hasrat untuk membuat rayuan terhadap keputusan tersebut.
Namun, melainkan keputusan itu digantung, kerajaan Persekutuan mesti memulakan proses semakan baru dengan Sabah dalam tempoh 90 hari.
Proses itu dijangka akan menentukan jumlah sebenar yang tertunggak kepada Sabah sepanjang “tahun-tahun yang hilang” — yang boleh mencecah berbilion ringgit.
Apa pun hasil rayuan itu nanti, keputusan ini telah mengubah perbahasan: Hak 40 peratus Sabah kini bukan lagi sekadar perdebatan antara peguam dan ahli politik — ia kini satu fakta perlembagaan.






