Tindakan menuding jari kepada Kementerian Pendidikan (KPM) dan menterinya berhubung insiden-insiden yang berlaku di sekolah baru-baru ini tidak akan membawa kepada sebarang penyelesaian, kata Anggota Parlimen Pandan Rafizi Ramli.
Menegaskan bahawa isu itu melibatkan seluruh masyarakat, Rafizi turut menyeru ibu bapa agar menilai semula cara mereka membesarkan anak-anak.
“Saya fikir menghentam KPM dan Menteri Pendidikan semata-mata, walaupun sedap untuk melepaskan geram sekarang, ia mungkin bukan penyelesaian.
“Kerana ini adalah isu masyarakat. Setiap ahli politik adalah ibu bapa. Setiap guru juga ibu bapa. Jadi, sebelum kita sampai ke soal macam mana perkara ini berlaku di sekolah, mungkin apa yang paling sesuai ialah setiap ibu bapa ini – kita – kena cermin diri kita dulu.
“Sebab kita kena tanya berapa banyak kita habiskan masa dengan anak-anak kita? Berapa banyak sebenarnya perangai kita, sikap kita, keterlanjuran kita beri pengaruh kepada anak-anak tanpa kita sedar.
“Berapa banyak kita tahu tentang apa yang berlaku dengan anak-anak kita? Itu kelemahan yang saya rasa perlu diperbaiki dari semasa ke semasa,” katanya dalam episod terbaru audio siar Yang Berhenti Menteri malam tadi.
Bekas Menteri Ekonomi itu mengulas beberapa insiden tragik yang berlaku di sekolah di negara ini, termasuk kes seorang pelajar perempuan maut ditikam, serta dua lagi menjadi mangsa rogol beramai-ramai.
Ia mencetuskan kemarahan awam berhubung keselamatan di sekolah, sekali gus menimbulkan persoalan tentang isu kesihatan mental dalam kalangan remaja.
Ia turut membawa kepada kritikan terhadap Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang didakwa gagal menangani masalah sistemik dalam sistem pendidikan negara.
Ada juga pihak yang menggesa kerajaan mengembalikan hukuman rotan sebagai langkah mendisiplinkan pelajar di sekolah.
‘Masyarakat sekarang lebih kasar’
Rafizi menegaskan masalah itu turut berpunca daripada ketidakmampuan ibu bapa meluangkan masa secukupnya bersama anak-anak, terutama disebabkan faktor ekonomi — yang menyebabkan tanggungjawab mendidik semakin banyak diserahkan kepada guru.
“Ia sebenarnya jauh lebih rumit dan saya pada ketika ini menunggu lebih banyak maklumat, dan saya nasihat diri saya agar jangan cepat melatah, menghukum dan membuat kesimpulan.
“Sebab isu ini lebih rumit daripada isu ekonomi. Ia lambang dan terjemahan kita sebagai sebuah masyarakat.
“Betul yang masyarakat kita sekarang lebih kasar, lebih mudah menghukum, menuduh dan percaya pada sesuatu perkara sebelum ia disemak,” katanya lagi.
Katanya lagi, masalah itu turut berkaitan dengan budaya masyarakat dan perlu ditangani secara menyeluruh, bukan dengan melihat satu komponen sahaja.
Rafizi juga menyatakan rasa kurang senang terhadap cadangan segera kerajaan untuk menyekat akses media sosial untuk kanak-kanak bawah umur, tanpa data yang mencukupi bagi menyokong langkah itu.
“Contohnya, kalau kerajaan kata tindak balas (susulan) kejadian yang berlaku ini ialah dengan memperkenalkan eKYC (proses elektronik Kenali Pelanggan Anda) agar kanak-kanak bawah 13 tahun tiada akses kepada platform media sosial, maksudnya hipotesisnya ialah kanak-kanak jadi ganas sebab media sosial.
“Adakah kita sudah ada data untuk (keputusan) itu?” soalnya.
Katanya, langkah sedemikian juga bertentangan dengan hakikat dunia masa kini yang saling berhubung, dan cubaan untuk mengehadkan keterhubungan itu mungkin akan gagal.






