YES telah memperkenalkan teknologi 5G Advanced iaitu generasi terkini rangkaian mudah alih yang menawarkan kelajuan lebih tinggi, dan sambungan yang lebih stabil. Untuk memahami kelebihannya, penting untuk mengetahui perbezaan antara 5G NSA, 5G SA dan 5G Advanced.

Secara ringkas, 5G NSA (Non-Standalone) masih menggunakan 4G sebagai asas. Ia memberi kelajuan internet lebih pantas tetapi panggilan suara masih melalui rangkain 4G. Manakala 5G SA (Standalone) atau ‘True 5G’ beroperasi sepenuhnya atas rangkaian 5G baharu. Ia menyokong pemindahan data dan panggilan suara terus melalui 5G, serta menggunakan jalur spektrum seperti 700MHz untuk liputan yang lebih luas dan sambungan yang lebih stabil.

5G Advanced ialah versi lebih maju daripada 5G SA dan merupakan langkah seterusnya dalam teknologi 5G. Ia menawarkan internet lebih laju, latensi lebih rendah, liputan lebih baik dalam bangunan dan sambungan yang lebih stabil. Teknologi ini juga menyokong Advanced Network Slicing yang bantu mengurus trafik rangkaian dengan lebih efisien mengikut keperluan pengguna.
Hari ini, kami berpeluang menyertai sesi ujian lapangan bersama phihak YES untuk melihat sendiri pengalaman menggunakan teknologi 5G Advanced. Bersama beberapa wakil daripada pasukan YES, kami berjalan sekitar bandaraya Kuala Lumpur untuk menilai prestasi rangkaian ini dalam pelbagai situasi khususnya semasa berada di dalam kenderaan.

Sepanjang ujian, kami menggunakan peranti Samsung Galaxy S25+ yang menyokong 5G Advanced disediakan oleh pihak YES. Ujian dilakukan di beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur termasuk kawasan terbuka dan kawasan padat penduduk untuk melihat prestasi rangkaian dalam pelbagai situasi.
Untuk mendapatkan bacaan ini, kami menggunakan aplikasi OOKLA bagi mengukur kelajuan dan kestabilan rangkaian sepanjang sesi ujian. Berikut ialah beberapa dapatan daripada ujian dijalankan.
- Prestasi rangkaian dilihat stabil walaupun berubah lokasi menunjukkan pengurusan trafik yang baik melalui teknologi seperti AI dan Network Slicing. Walaupun ada sedikit penurunan di sesetengah kawasan namun sambungan masih berada pada tahap yang boleh digunakan.
- Panggilan video berkumpulan berjalan lancar tanpa lengah masa termasuk semasa pergerakan dalam kenderaan.
- Kawasan berpenduduk menunjukkan prestasi rangkaian yang konsisten tanpa gangguan ketara walaupun dalam keadaan trafik data yang tinggi.
- Kelajuan muat turun dan muat naik didapati hampir setara dengan rangkaian 5G biasa terutamanya di kawasan terbuka dengan isyarat yang jelas.
- Sambungan dalam bangunan didapati stabil termasuk di lokasi tertutup seperti pusat membeli-belah.
Ujian ini bermula di Starhill, Kuala Lumpur yang menunjukkan kelajuan muat turun sekitar 213Mbps, muat naik 52.5Mbps, latensi 19ms dan turun naik isyarat (jitter) sekitar 8ms. Di sekitar Menara TA One, kelajuan muat turun purata ialah 106Mbps dan muat naik55.5Mbps dengan latensi 24ms dan jitter 23ms. Ujian berulang di lokasi sama menunjukkan sedikit perbezaan kelajuan muat turun diantara 84.7Mbps – 98Mbps namun kelajuan muat naik kekal stabil.

Dapatan ini menunjukkan bahawa prestasi rangkaian 5G Advanced adalah stabil dan berfungsi dengan baik dalam persekitaran bandar yang sibuk. Walaupun terdapat sedikit perbezaan bacaan bergantung kepada lokasi dan keadaan sekeliling, rangkaian ini dilihat mampu menyokong penggunaan harian dalam pelbagai situasi

Seterusnya di sekitar KLCC, bacaan kelajuan menunjukkan purata muat turun sekitar 178Mbps dan muat naik 57.0Mbps. Latensi direkodkan serendah 18ms, manakala turun naik isyarat berada pada tahap 6ms, menandakan sambungan yang lebih stabil. Ujian tambahan di kawasan yang sama menunjukkan kelajuan muat turun sekitar 105Mbps manakala muat naik mencapai 53.2Mbps, dengan latensi 36ms dan turun naik isyarat sekitar 15ms.

Dalam perjalanan ke lokasi seterusnya, kami menjalankan ujian panggilan video melibatkan 6 hingga 7 peserta termasuk pasukan lain dalam kenderaan berasingan. Sepanjang sesi, panggilan berjalan lancar tanpa gangguan ketara walaupun kenderaan bergerak melalui kawasan berpokok dan terbuka. Suara dan paparan video kekal jelas tanpa lengah masa.

Cubaan ini menunjukkan bahawa rangkaian YES 5G Advanced berfungsi dengan baik untuk komunikasi masa nyata termasuk semasa bergerak dari satu tempat ke tempat lain. Walaupun prestasi boleh berubah mengikut lokasi dan keadaan sekeliling, pengalaman ini memberi gambaran yang meyakinkan tentang keupayaannya menyokong aktiviti harian seperti panggilan video dalam talian dengan lancar.

Ujian di sekitar Prince Court menunjukkan prestasi rangkaian 5G Advanced yang sangat baik dengan kelajuan muat turun sekitar 809Mbps, muat naik 127Mbps, latensi 14ms, dan turun naik isyarat sekitar 2ms, menandakan sambungan yang stabil. Sebagai perbandingan, 146Mbps, dan latensi 18ms. Walaupun angka di Putrajaya sedikit lebih tinggi perbezaannya tidak begitu besar secara kasarnya.

Ujian di sekitar Yayasan Tun Razak menunjukkan prestasi rangkaian yang baik, dengan kelajuan muat turun sekitar 351Mbps, muat naik 107Mbps, latensi 13ms, dan turun naik isyarat sekitar 2ms. Namun, di lokasi terakhir iaitu sebuah kafe berdekatan Starhill berhampiran Pavilion KL, bacaan kelajuan menurun dengan muat turun sekitar 16.6Mbps, muat naik 23.3Mbps, latensi 79ms dan turun naik isyarat mencecah 41ms.

Ini menunjukkan prestasi rangkaian boleh berubah bergantung kepada lokasi, halangan fizikal dan kesesakan. Ujian di hadapan Pavilion KL yang juga kawasan komersial yang sibuk, turut memberi gambaran bagaimana rangkaian YES 5G Advanced berfungsi dalam persekitaran padat.
YES 5G Advanced kini boleh digunakan oleh semua pelanggan Yes 5G Postpaid dan Wireless Broadband. Pengguna hanya perlu pastikan peranti mereka menyokong 5G Advanced kerana kad SIM sedia ada sudah serasi.

Sambungan ke rangkaian ini berlaku secara automatik apabila berada dalam kawasan liputan, yang boleh dikenali melalui lambang YES 5G Advanced. Untuk pelanggan Postpaid, hanya gunakan peranti yang serasi. Bagi pelanggan Broadband, router Infinite Gateway akan disambungkan secara automatik apabila liputan ini tersedia.
Pihak YES memaklumkan bahawa pelaksanaan rangkaian ini di Kuala Lumpur dan Selangor dijangka selesai menjelang akhir bulan ini. Bulan berikutnya, fokus akan diberikan kepada kawasan utara dan Selatan manakala Sabah dan Sarawak dijadualkan menerima liputan pada Disember.

YES turut berkongsi harapan terhadap penggunaan 5G Advanced dalam pelbagai sektor seperti pembuatan, kesihatan dan robotik, serta melihat teknologi ini sebagai asas kepada integrasi kecerdasan buatan (AI) dalam industri-industri tersebut.






