Mahkamah Sesyen Jenayah Kuala Lumpur hari ini membebaskan dan melepaskan pengarah syarikat pelaburan, Murugan Supparamaniam daripada tuduhan menerima deposit bagi tujuan pelaburan tanpa lesen sah di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758).
Peguam tertuduh, Baljit Singh Sidhu, mengesahkan perkara itu kepada Malaysiakini.
Dalam penghakimannya, Hakim Azrul Darus memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Murugan berhubung dakwaan menerima wang sebanyak RM250,000 daripada seorang individu di Desa Sri Hartamas pada 12 Ogos 2022.
“Mahkamah mendapati bukti yang dikemukakan menunjukkan bahawa jumlah wang tersebut merupakan bayaran untuk langganan Saham Keutamaan Boleh Tebus (Redeemable Preference Shares) dalam Personal Banc Berhad, berdasarkan Perjanjian Langganan (Subscription Agreement) yang ditandatangani antara pihak-pihak terlibat.
“Pengadu dalam kes ini telah menerima manfaat daripada pelaburan tersebut, termasuk pembayaran dividen dan syiling emas, sekali gus membuktikan bahawa transaksi itu adalah pelaburan dan bukan deposit sebagaimana ditakrifkan di bawah Seksyen 136 dan 137 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.
“Sehubungan itu, mahkamah memerintahkan tertuduh dibebaskan dan dilepaskan tanpa perlu membela diri,” kata Baljit.

Murugan dituduh pada 25 Julai 2024 atas kesalahan menerima RM250,000 bagi tujuan pelaburan tanpa lesen sah.
Dia didakwa mengikut Seksyen 137(2) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda maksimum RM50 juta, atau kedua-duanya sekali.
Selain Baljit, Murugan turut diwakili Gurpreet Kaur Pannu, manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Saravanan Meyappan.






