Malaysia Oversight

Mahkamah Tinggi silap tolak saman Yeoh terhadap bekas IGP

By MkiniBM in October 17, 2025 – Reading time 3 minute
Mahkamah Tinggi silap tolak saman Yeoh terhadap bekas IGP


Mahkamah Rayuan diberitahu hari ini bahawa Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membuat kesilapan undang-undang dengan mengambil kira analisis yang tidak relevan, menyebabkan saman fitnah Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, terhadap bekas Ketua Polis Negara, Musa Hassan, ditolak tahun lalu.

Peguam Yeoh, Razlan Hadri Zulkifli, menyenaraikan beberapa analisis yang dibuat oleh mahkamah yang dianggapnya tidak relevan — termasuk satu situasi di mana hakim menyatakan bahawa Yeoh “gagal mengemukakan bukti dokumen untuk membuktikan kenyataan Musa merujuk kepadanya.”

“Tiada keperluan undang-undang bahawa (bukti) dokumen tersebut mesti dikemukakan.

“Oleh itu, adalah tidak adil bagi mahkamah yang nampaknya telah meletakkan beban pembuktian ke atas perayu (Yeoh) untuk menghasilkan bukti dokumen bagi menentukan sama ada kenyataan itu merujuk kepadanya atau tidak.

“Mahkamah silap apabila tidak mendapati kenyataan (didakwa) memfitnah itu bersifat fitnah, sebaliknya hanya sekadar komen ringkas kepada Yeoh dalam ucapan tersebut.

“Walau bagaimanapun, sesuatu kenyataan tetap boleh dianggap memfitnah walaupun ia hanya ayat pendek atau petikan dalam ucapan panjang atau penerbitan yang membincangkan isu lebih luas,” katanya ketika berhujah di hadapan panel tiga hakim yang diketuai oleh Hakim Azimah Omar.

Panel tersebut turut disertai oleh hakim Choo Kah Sing dan Shahnaz Sulaiman.

38047ff989a6634bed975d857758675b

Pada 30 Jan 2020, Musa mendakwa dalam satu forum di Universiti Teknologi Mara (UiTM) bahawa Yeoh mahu “menyebarkan agama Kristian” di Malaysia dan menjadikannya sebuah negara Kristian, menyebabkan Yeoh memfailkan saman terhadapnya pada Julai tahun yang sama.

Ahli Parlimen DAP itu berhujah bahawa kenyataan Musa dalam ucapannya adalah tidak benar, palsu dan tidak berasas, serta dibuat dengan niat jahat untuk menjejaskan nama baik dan reputasinya.

Namun, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman Yeoh pada 23 Disember tahun lalu, dan mengarahkan dia membayar RM40,000 kepada Musa sebagai kos.

Pesuruhjaya Kehakiman Arziah Apandi berkata tiada elemen niat jahat dibuktikan dalam kes tersebut dan Musa mempunyai asas yang munasabah untuk membuat kenyataan itu, merujuk kepada pengakuan Yeoh dan penulisannya dalam buku bertajuk “Becoming Hannah”.

Dia juga menegaskan bahawa hak kebebasan bersuara mesti dilindungi, terutamanya dalam isu kepentingan awam dan kenyataan yang dibuat dalam majlis yang diberi hak istimewa.

Arziah menambah bahawa Musa, sebagai bekas Ketua Polis Negara, mempunyai tanggungjawab moral dan sosial untuk bercakap mengenai perkara yang menjejaskan keselamatan negara.

‘Mahkamah tidak pertimbangkan jawapan Musa’

Razlan berhujah bahawa mahkamah gagal mempertimbangkan jawapan Musa semasa disoal balas, di mana bekas IGP itu dikatakan bersandar kepada catatan Facebook Kamarul Zaman Yusoff dan dokumen risikan.

Musa juga mengakui bahawa dia tidak dapat mengemukakan sebarang bukti dokumen untuk menyokong dakwaannya.

“(Semasa soal balas) Musa mempertahankan kenyataannya dengan bersandar pada catatan Facebook Kamarul. Beliau menyatakannya beberapa kali.

“Malangnya, tiada undang-undang yang menyokong ini. Dari segi justifikasi, anda tidak boleh bergantung kepada pendapat seseorang.

“Justifikasi ialah kebenaran (di mana konsepnya) ‘Saya menyatakan kebenaran, dan kebenaran itu bersifat objektif’. Bukan kerana (seseorang) menyatakannya. Konsep sebegini bukan undang-undang, oleh itu rujukan kepada catatan Kamarul tidak boleh dijadikan sandaran.”

‘Tiada niat jahat’

Sementara itu, peguam Musa, Khairul Azam Abdul Aziz, ketika menangkis hujah, menyatakan Musa tidak mempunyai niat jahat (mala fide) terhadap Yeoh kerana kenyataan dibuat berdasarkan catatan Facebook Kamarul serta maklumat risikan berkaitan keselamatan negara.

Dalam hujah bertulisnya, Khairul mendakwa Yeoh hanya memilih sebahagian ucapan Musa yang berdurasi 1 jam, 56 minit, dan 33 saat.

b0d8b37694a9fff1b27650daa1a111ce

“Hujah ini disokong lagi oleh pengakuan perayu (semasa perbicaraan) bahawa beliau sendiri tidak mendengar keseluruhan ucapan responden (Musa) tetapi hanya sebahagian, lebih kurang dua minit daripada keseluruhan ucapan,” tambahnya.

Khairul juga mempertahankan Musa kerana tidak dapat mengemukakan bukti dokumen untuk menyokong dakwaannya kerana dokumen risikan adalah sulit.

Hakim kemudian menangguhkan penghakiman dan menetapkan 21 Oktober untuk pengurusan kes bagi menentukan tarikh pengumuman keputusan.



Source link