Malaysia Oversight

Sidang media FAM tegang, wartawan asak isu pemain warisan

By MkiniBM in October 17, 2025 – Reading time 3 minute
Sidang media FAM tegang, wartawan asak isu pemain warisan


Sidang media Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini bertukar tegang apabila wakil media bertalu-talu mengajukan soalan berhubung isu tujuh pemain warisan yang digantung oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) atas dakwaan pemalsuan dokumen pertalian darah.

Sidang media yang dipengerusikan Timbalan Presiden FAM, S Sivasundaram, pada awalnya dijangka memberi penjelasan lanjut mengenai siasatan Fifa terhadap status pemain berkenaan. Namun, sesi itu bertukar menjadi medan soal jawab penuh pertikaian dan kekeliruan fakta.

“Tolong beritahu kami bila tarikh ketibaan tujuh pemain terbabit ke Malaysia serta bila ‘MyKad’ mereka dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN),” soal wartawan.

Menjawab pertanyaan itu, Sivasundaram berkata dia tidak mempunyai tarikh tepat tetapi menjelaskan permohonan dibuat pada Januari 2025 dan dokumen dikeluarkan pada Mei tahun sama.

7e1a5b97a88207b883b5cec0f25dcc43

Apabila disoal bagaimana proses kewarganegaraan boleh diselesaikan dalam tempoh kurang enam bulan, Sivasundaram menjawab bahawa maklumat berkenaan terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Soalan seterusnya menyentuh tentang keturunan sebenar tujuh pemain itu — sama ada mereka benar-benar berdarah Malaysia atau sebenarnya dinaturalisasikan.

Sivasundaram menjawab: “Saya percaya mereka memperoleh pasport melalui warisan Malaysia,” sekaligus menimbulkan persoalan lanjut daripada wartawan tentang mengapa FAM hanya “percaya” dan tidak dapat mengesahkan perkara itu.

Dia kemudian menambah: “Sebab itu kita tubuhkan jawatankuasa bebas untuk menyiasat.”

Terdahulu, FAM mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Bebas untuk menyiasat dakwaan pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain warisan, sementara Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman, digantung tugas serta-merta.

0744c53685b8e8419c7e3b24dd46efcc

Satu lagi soalan panas muncul apabila wartawan menyoal siapa yang mengenal pasti pemain-pemain tersebut dan bagaimana bukti warisan mereka diperoleh.

FAM sebelum ini menjelaskan proses pemilihan bermula selepas cadangan daripada ejen dan jurulatih, namun gagal menyatakan nama ejen atau pegawai FAM yang mengesahkan dokumen pemain berkenaan.

FAM mohon surat beranak

Sivasundaram turut mengakui FAM memohon sijil kelahiran bagi pemain-pemain itu tetapi menegaskan perkara tersebut kini dalam siasatan oleh jawatankuasa bebas yang bakal ditubuhkan.

Ketika diasak mengenai kenyataan terdahulu bahawa aduan kepada Fifa dibuat oleh individu dari Vietnam, Sivasundaram menjawab bahawa ia sekadar kepercayaan bukan maklumat rasmi.

“Kami percaya seorang individu dari Vietnam yang membuat aduan itu,” katanya, sambil wartawan menegaskan kenyataan itu hanya berdasarkan andaian dan tidak boleh dianggap konklusif.

Menjawab soalan wartawan, Sivasundaram menjelaskan keputusan menggantung setiausaha agung FAM untuk memastikan siasatan dijalankan secara telus dan bebas.

“Dia tidak digantung atas kehendak sendiri. Keputusan dibuat oleh exco FAM semalam dan jawatankuasa bebas akan ditubuhkan untuk meneliti isu ini,” katanya.

Walaupun pelbagai persoalan diajukan — termasuk tentang siapa yang bertanggungjawab terhadap “kesilapan teknikal” dalam penghantaran dokumen kepada Fifa — pihak FAM gagal memberikan jawapan yang jelas.

Sivasundaram dilihat berhati-hati dan mengelak menjawab soalan berhubung kesilapan teknikal serta kandungan rayuan, menjelaskan ia boleh mengganggu proses siasatan dan rayuan yang sedang berlangsung di Fifa.

Pada 26 September lalu, Fifa mengenakan hukuman denda dan penggantungan terhadap FAM serta tujuh pemain warisan selepas mendapati terdapat pemalsuan dokumen bagi membuktikan hubungan darah dengan Malaysia.

Dalam keputusan tatatertibnya, Fifa menyatakan datuk dan nenek tujuh pemain tersebut bukan berasal dari Malaysia seperti yang dikemukakan oleh badan sukan tempatan.

Antara tujuh pemain yang digantung itu ialah Gabriel Palmero, Facundo Garcés, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, João Figueiredo, Jon Irazábal dan Hector Hevel — semuanya pemain berprofil tinggi yang beraksi di liga utama Amerika Latin dan Eropah.

Susulan keputusan itu, pada 15 Oktober, FAM memfailkan rayuan rasmi kepada Fifa berhubung keputusan tatatertib berkenaan.

Pemangku Presiden FAM, Mohd Yusoff Mahadi berkata pihaknya bertindak pantas selepas menerima penghakiman penuh Fifa pada 7 Oktober lalu, dengan pasukan perundangan menyiapkan semua dokumen sebelum tarikh akhir.

Dia menjelaskan proses rayuan dijalankan dengan teliti bagi memastikan tiada masalah pada peringkat seterusnya.

Sementara itu, peguam FAM, Serge Vittoz, memaklumkan keputusan rayuan dijangka diketahui pada 30 Oktober ini.

“Rayuan telah dibuat pada 15 Okt. Jawatankuasa rayuan Fifa akan membuat keputusan pada 30 Okt ini.

“Hasil keputusannya, akan diberitahu pada hari yang sama atau pada hari berikutnya,” katanya.



Source link