ASUS ialah sebuah jenama yang mungkin lebih dikenali untuk penawaran perkakasan dan aksesori gaming, komponen komputer dan juga komputer riba mereka, tetapi tahukah anda bahawa mereka juga menawarkan komputer desktop yang dibina khas untuk kegunaan produktiviti di rumah dan juga pejabat?

Bersempena dengan pelancaran komputer riba ASUS ExpertBook PM3, mereka juga telah melancarkan komputer riba produktiviti bersaiz padat ASUS ExpertCenter P500SV. Kami telah diberi peluang untuk menguji komputer ini di pejabat kami untuk seketika, dan ini adalah pendapat kami mengenainya.
Rekaan Dan Spesifikasi
| Nama Model | ASUS ExpertCenter P500 SV | |||
| Pemproses | Intel Core i7-13620H | |||
| Cip Grafik | Intel Arc | |||
| RAM | 16GB DDR5 | |||
| Muatan Dalaman | 512GB NVMe PCIe 4.0 SSD | |||
| Kamera | Tiada | |||
| Audio | Tiada | |||
| Palam I/O | 1x 3.5mm combo audio jack | 2x USB 3.2 Gen 1 Type-A | 1x USB 3.2 Gen 1 Type-C | 1x Pembaca kad SD/MMC 2-dalam-1 |
| Sistem Operasi | Microsoft Windows 11 | |||
| Sambungan | Wi-Fi 6 (802.11ax) | Bluetooth 5.4 | ||
| Harga | Intel Core 7 240H, 16GB, 512GB – RM4099 | Intel Core 5 210H, 16GB, 512GB – RM3599 |
Bermula dengan spesifikasi komputer riba ini, model yang dihantar kepada kami hadir dalam konfigurasi cip pemprosesan Intel Core i7-13620H dengan memori DDR5 sebanyak 16GB. Dari segi storan pula, komputer ini hadir dengan sebanyak 512GB storan SSD PCIe 4.0.

Ya, anda tidak salah baca, kerana komputer desktop ini merumahkan sebuah cip pemprosesan Intel yang sepatutnya digunakan untuk komputer riba. Ini juga bukanlah suatu fenomena yang baru, khususnya apabila terdapat banyak komputer bersaiz padat lain yang menggunakan konfigurasi sedemikian.
Dari segi rekaan komputer pula, ASUS ExpertCenter P500SV ini hadir dengan rekaan komputer desktop pejabat yang klasik, tetapi dengan beberapa kelainan di bahagian dalam yang menggunakan komponen-komponen komputer riba, dan ini membolehkan komputer ini hadir dengan rekaan yang lebih kecil.

Kelebihan komputer desktop ini hadir pada kebolehannya untuk dibuka dan penaiktarafan beberapa komponen dengan mudah. Panel sisi ExpertCenter P500SV ini boleh dibuka dengan memutarkan skru belakang dengan tangan, yang akan memberi pengguna akses kepada komponen-komponen didalamnya.
Pengguna boleh menukar komponen-komponen memori dan storan dengan cepat dan mudah, malah komputer ini menyokong pemasangan dua buah storan SSD sehingga 4TB dan konfigurasi memori DDR5 sehingga 64GB sekiranya diperlukan.

Sistem penyejukan yang menyejukkan komponen CPU juga memiripi apa yang digunakan dalam sebuah komputer riba, tetapi diperbesarkan lagi, untuk membolehkannya menyejukkan komponen tersebut dengan lebih cekap.

Dari segi pilihan palam, ASUS ExpertCenter P500SV dilengkapi dengan dua palam USB Type-A, satu palam USB Type-C, palam bicu audio 3.5mm bersama-sama dengan pembaca kad SD di bahagian hadapan. Di bahagian belakang pula terdapat empat palam USB Type-A, satu palam HDMI 1.4, satu palam DisplayPort 1.4, palam-palam audio 7.1 dan satu palam internet RJ45 untuk sambungan internet berkabel.
Dari segi sambungan nirwayar pula, komputer ini hadir dengan sokongan untuk sambungan nirwayar WiFi 6 dan Bluetooth 5.4.
Pengalaman Pengguna
Secara jujurnya, ada sahaja komputer desktop di pasaran yang lebih padat berbanding dengan apa yang ditawarkan oleh ASUS melalui komputer ExpertCenter P500SV ini. Tetapi ia masih lagi boleh dikatakan sebuah komputer desktop yang cukup kecil jika ruang meja anda tidak terlalu besar dan anda hanya mahu menggunakan sebuah komputer untuk tugasan-tugasan pejabat ataupun di rumah.

Walaupun komputer ini menggunakan spesifikasi yang secara lazimnya diperlihatkan pada sebuah komputer riba, pada pendapat saya, ia adalah mencukupi untuk tugasan-tugasan produktiviti harian seperti menyunting dokumen, gambar, dan sebagainya.

Rekaan sistem penyejukan yang digunakan didalam komputer ExpertCenter P500SV ini juga bermakna bahawa komputer ini beroperasi dengan sangat senyap sekali, dan tidak akan mengganggu konsentrasi pengguna apabila mereka bekerja.

Komputer desktop ini juga hadir dengan papan kekunci dan tetikus berwayar mereka sendiri, tetapi jika anda lebih biasa menggunakan papan kekunci dan tetikus nirwayar, anda juga boleh memadankannya dengan komputer ini dengan mudah sekali. Selain daripada itu, komputer desktop ini juga hadir dengan sokongan untuk sambungan internet nirwayar WiFi 6 untuk mengurangkan selirat kabel di meja anda.
Sebelum ini, saya juga ada mengatakan bahawa satu lagi kelebihan pada komputer ini, dimana anda boleh menambahkan kapasiti kedua-dua komponen ini jika anda atau syarikat anda memerlukannya untuk dinaiktaraf.

Perkara ini boleh dilakukan dengan cepat dan mudah dan hanya memerlukan pemutar skru untuk mengakses bahagian storan SSD sahaja, dan bukan bahagian-bahagian lain. Mungkin pada bahagian bekalan kuasa jika ia perlu ditukar.
Jika saya mahu memberi komen tentang proses DIY pembaikan atau penaiktarafan komputer ini, ASUS telah mendokumentasi langkah-langkah yang perlu dilakukan dengan baik. Akan tetapi, apabila kami memasang semula rangka hadapan desktop ini, nasihat kami ialah untuk memastikan bahawa lubang rangka adalah selari dengan palam-palam pada unit komputer.

Kami dapati bahawa ia mudah untuk tidak selari, dan apabila tidak dipasang dengan betul, butang kuasa komputer tidak boleh ditekan untuk menghidupkannya. Satu lagi kritikan mungkin adalah berkaitan dengan aksesori papan kekunci dan tetikus yang ditawarkan juga, yang pada pendapat saya adalah agak berkualiti rendah.
Skor Penanda Aras
Ini adalah skor penanda-aras untuk komputer ASUS ExpertCenter P500SV:
PCMark10

CrystalDiskMark

Ada Apa Dalam Kotak

Ini adalah apa yang anda akan dapat apabila anda membeli sebuah unit komputer desktop ASUS ExpertCenter P500SV:
- 1x ASUS ExpertCenter P500SV
- 1x manual pengguna
- 1x kabel kuasa
- 1x papan kekunci berwayar
- 1x tetikus berwayar
Penutup
Model ASUS ExpertCenter P500SV yang dihantar kepada kami untuk diulas hadir dengan spesifikasi cip pemprosesan Intel Core generasi ke-13, tetapi model terbaru yang hadir di pasaran, seperti yang dilaporkan baru-baru ini hadir dengan cip pemprosesan Intel Core 200 generasi terbaru.

Ulasan ini ditulis dengan spesifikasi yang dihantar kepada kami, dan pada pendapat saya, sebagai sebuah komputer desktop yang digunakan untuk tujuan produktiviti pejabat biasa. Model terbaru hadir dengan harga permulaan RM3599 untuk model dengan CPU Intel Core 5 210-H dan RM4099 untuk model dengan CPU Intel Core 7 240H.
Syarikat-syarikat yang mahu membeli komputer desktop yang mempunyai prestasi baik dan mudah untuk dibaiki dan dinaiktaraf sendiri boleh menjadikan ASUS ExpertCenter P500SV sebagai salah satu pilihan mereka.
Pro:
- Prestasi produktiviti pejabat yang baik
- Komputer mudah untuk dibaiki dan dinaiktaraf
- Harga mampu-milik untuk syarikat
Kontra:
- Penawaran aksesori yang dilihat tidak berkualiti






