Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan menubuhkan sebuah Jawatankuasa Bebas bagi menyiasat isu tujuh pemain warisan yang digantung oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) susulan dakwaan pemalsuan dokumen pertalian darah dengan Malaysia.
Timbalan Presiden FAM, S Sivasundaram turut mengesahkan bahawa Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman digantung tugas berkuat kuasa serta-merta.
“Berhubung isu tujuh pemain warisan negara, FAM bersetuju untuk menubuhkan satu jawatankuasa bebas untuk menyiasat.
“Setiausaha agung digantung berkuat kuasa hari ini bagi membolehkan jawatankuasa menjalankan tugasnya.
“Kami mahu siasatan dijalankan secara telus. Biar jawatankuasa tentukan apa yang silap,” katanya dalam sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya, Robert Douglas Friend, dan peguam bela FAM, Serge Vittoz.
FIFA gantung tujuh pemain dan denda FAM
Pada 26 September lalu, Fifa mengenakan hukuman denda dan penggantungan terhadap FAM serta tujuh pemain warisan selepas mendapati terdapat pemalsuan dokumen bagi membuktikan hubungan darah dengan Malaysia.
Fifa dalam keputusan tatatertibnya menyatakan datuk dan nenek tujuh pemain tersebut bukan berasal dari Malaysia seperti yang dikemukakan oleh badan sukan tempatan.
Antara tujuh pemain yang digantung itu memiliki profil tinggi dan bermain di liga utama Amerika Latin serta Eropah. Mereka ialah Gabriel Palmero, Facundo Garcés, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, João Figueiredo, Jon Irazábal dan Hector Hevel.
FAM fail rayuan kepada Fifa
Susulan itu, pada 15 Oktober, FAM memfailkan rayuan rasmi kepada Fifa berhubung keputusan tatatertib berkaitan dokumentasi kelayakan tujuh pemain tersebut.
Pemangku Presiden FAM, Mohd Yusoff Mahadi berkata pihaknya bertindak pantas selepas menerima penghakiman penuh Fifa pada 7 Oktober lalu, dengan pasukan perundangan FAM menyiapkan semua dokumen sebelum tarikh akhir.
Dia menjelaskan bahawa proses memfailkan rayuan dilakukan dengan cermat bagi memastikan tiada sebarang masalah timbul pada peringkat seterusnya.
Sementara itu, peguam FAM, Serge Vittoz berkata keputusan berhubung rayuan itu dijangka diketahui pada 30 Oktober ini.
“Rayuan telah dibuat pada 15 Oktober. Jawatankuasa rayuan Fifa akan membuat keputusan pada 30 Oktober ini.
“Hasil keputusannya, akan diberitahu pada hari yang sama atau pada hari berikutnya,” katanya.






