Malaysia Oversight

Sistem PA di empat lapangan terbang AS, Kanada digodam, siar mesej puji Hamas

By Utusan in October 17, 2025 – Reading time 2 minute
Sistem PA di empat lapangan terbang AS, Kanada digodam, siar mesej puji Hamas


SEATTLE: Sistem siar raya awam (PA system) di empat lapangan terbang iaitu tiga di Kanada dan satu di Amerika Syarikat digodam pada Selasa, menyebabkan mesej memuji Hamas dan mengkritik Presiden Donald disiarkan secara terbuka.

Menurut Polis Diraja Kanada (RCMP), sistem penstriman iklan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kelowna di British Columbia “diceroboh secara ringkas” dan kandungan tidak dibenarkan telah disiarkan. RCMP kini menjalankan siasatan bersama agensi lain namun enggan mengulas lanjut.

Di Lapangan Terbang Antarabangsa Victoria di British Columbia, jurucakap lapangan terbang mengesahkan siar raya sistem digodam dan mesej dalam bahasa asing serta muzik telah dimainkan.

Mereka memaklumkan penggodam menyusup melalui perisian pihak ketiga dan sistem dalaman digunakan semula untuk mengawal keadaan.

Pusat Siber Keselamatan Kanada kini membantu lapangan terbang terbabit dan RCMP dalam siasatan insiden tersebut, yang dianggap serius kerana melibatkan sistem komunikasi utama lapangan terbang.

Sementara itu, di Amerika Syarikat, Lapangan Terbang Antarabangsa Harrisburg di Pennsylvania turut menjadi sasaran.

Menurut Setiausaha Pengangkutan AS, Sean Duffy, dalam kenyataan di media sosial pada Rabu, sistem PA lapangan terbang itu telah diambil alih oleh penggodam. Pihak Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) dan pegawai lapangan terbang kini menjalankan siasatan.

Insiden serupa turut berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Windsor di Ontario, Kanada. Pihak pengurusan lapangan terbang memaklumkan sistem paparan maklumat penerbangan dan PA digodam pada waktu malam, dengan imej dan pengumuman tidak dibenarkan dipaparkan secara terbuka.

Menurut kenyataan rasmi Windsor, pencerobohan itu berlaku melalui penyedia perisian berasaskan awan (cloud-based software) yang digunakan lapangan terbang. Namun begitu, mereka memaklumkan sistem telah dipulihkan dalam masa singkat selepas insiden berlaku.

Keempat-empat lapangan terbang ini merupakan lapangan terbang pengumpan (feeder airports) berskala kecil. Kelowna, yang paling sibuk di antara keempat-empat lokasi tersebut, mencatat lebih 2 juta penumpang pada tahun 2024.





Source link