Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, menegaskan bahawa tanggungjawab utama dalam menangani isu keselamatan dan kesejahteraan pelajar terletak pada menteri, bukan pegawai atau guru di lapangan.
Dia berkata, kegagalan sistem pendidikan menangani masalah disiplin, buli dan keselamatan pelajar secara berkesan menunjukkan perlunya kejujuran dan keberanian politik, bukan pelan atau slogan baru yang diumumkan secarta tergesa-gesa.
“Masalah sebenar bukan sekadar kekurangan dasar atau pekeliling, tetapi budaya dan sistem yang gagal menyokong guru serta pelajar.
“Apabila Ketua Pengarah Pendidikan sendiri mengaku ada kes “disapu bawah karpet”, itu bukan isu komunikasi — ia tanda bahawa sistem pentadbiran gagal memberi ruang kepada warga sekolah bersuara tanpa takut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nik Nazmi turut mengingatkan kerajaan supaya tidak terburu-buru melancarkan pelan baru setiap kali timbul krisis, sebaliknya mendengar pandangan di lapangan dan meneliti laporan secara jujur.

Dia menegaskan, sekolah yang berdepan kadar disiplin tinggi tidak wajar dilabel sebagai bermasalah, sebaliknya perlu diberi sokongan tambahan dari segi sumber, tenaga dan bimbingan.
“Guru kini terbeban bukan kerana kurang dedikasi, tetapi kerana sistem yang menuntut terlalu banyak laporan dan terlalu sedikit kepercayaan.
“Bila wujud krisis disiplin, kesihatan mental atau keselamatan, mereka tersepit antara tanggungjawab melapor dan keinginan melindungi,” katanya lagi.
Nik Nazmi turut menyeru agar ekosistem pendidikan dibina semula berasaskan kepercayaan terhadap guru, keselamatan pelajar dan nilai kemanusiaan.
“Sudah tiba masanya kita membina semula ekosistem pendidikan yang berasaskan kepercayaan terhadap guru, keselamatan pelajar, dan nilai kemanusiaan.
“Akhirnya, menteri mesti bertanggungjawab – bukan pegawai, bukan guru. Akauntabiliti tidak boleh dipindahkan kepada sesiapa,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan mesyuarat kabinet hari ini akan membuat keputusan berhubung isu disiplin dan keselamatan melibatkan pelajar sekolah.
Anwar berkata dia akan mengarahkan para menteri untuk mempertimbangkan langkah yang lebih ketat terhadap penggunaan media sosial, dengan menegaskan bahawa penggunaan media sosial tanpa kawalan menjadi punca utama kepada kebanyakan kes tersebut.






