MIC tidak akan menjemput Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) parti itu yang akan diadakan pada 16 Nov depan.
Presidennya, SA Vigneswaran berkata ini kerana AGM kali ini diadakan hanya untuk sehari dan akan memfokuskan kepada hal dalaman parti.
“Tiada siapa akan dijemput, termasuk Zahid. AGM ini untuk perwakilan dan delegasi MIC sahaja.
“Ini bukan satu perkara baru. MCA pernah mengadakan mesyuarat agung tanpa menjemput sesiapa. Maka kali ini MIC membuat ketetapan yang sama,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC di Kuala Lumpur, malam tadi.
Ketika ditanya adakah mesyuarat hari ini membincangkan pendirian parti itu sama ada kekal atau meninggalkan BN, Vigneswaran membalas: “tunggu untuk AGM” (akan membuat keputusan).
“Kalau kami nak buat keputusan sendiri, apa salahnya? Dulu kami pernah jadi kerajaan, sekarang ada pasukan baru (PH). Yang penting, kita mesti ada kerusi untuk bertanding.
“Ada yang masih mengkritik kegagalan kerajaan sebelum ini. Walaupun MCA dan MIC dalam gabungan BN, sebenarnya Umno yang mentadbir negara ini.
“Kalau nak salahkan, kena salahkan Umno. Bukan MCA atau MIC,” katanya.
Krisis dalaman antara MIC dan Umno semakin memuncak apabila Vigneswaran sebelum ini mendakwa Ahmad Zahid yang juga presiden Umno sebagai seorang penipu.
Dia membuat dakwaan itu ketika merujuk kenyataan Ahmad Zahid bahawa kajian yang dibuat mendapati ahli MIC dan MCA tidak mahu parti mereka meninggalkan BN.
Vigneswaran malah berkata presiden Umno itu sepatutnya mendapatkan pandangan akar umbi parti itu mengenai hilangnya sokongan orang Melayu, terutama di Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis.
MIC dan MCA kini sedang menilai kemungkinan keluar daripada BN berikutan rasa tidak puas hati terhadap kedudukan mereka dalam politik nasional, khususnya selepas Umno di bawah pimpinan Ahmad Zahid menjalin kerjasama dengan PH.
Antara kebimbangan utama mereka ialah pembahagian kerusi pilihan raya yang memihak kepada parti penyandang. Berdasarkan formula perkongsian kerusi antara BN dan PH, MCA dan MIC dijangka hanya akan mendapat sebilangan kecil kerusi untuk ditandingi dalam pilihan raya umum akan datang.
Ketika ini, MCA hanya memiliki dua kerusi Parlimen, manakala MIC satu.






