Seorang peguam mengkritik tindakan pihak berkuasa yang membuang pelajar-pelajar yang didakwa terlibat dalam kes rogol di Baling, Kedah baru-baru ini, dengan menyifatkannya sebagai pelanggaran terhadap hak perlembagaan remaja tersebut untuk mendapat pendidikan serta prinsip tidak bersalah sebelu dibuktikan di mahkamah.
Charles Hector Fernandez berkata Jabatan Pendidikan Kedah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) dilihat bertindak tergesa-gesa bagi meredakan kemarahan awam, walaupun pelajar-pelajar berkenaan belum disabitkan kesalahan mahupun diheret ke mahkamah.
Mengingatkan yang tindakan sedemikian merupakan satu bentuk hukuman sebelum kesalahan dibuktikan, Charles menegaskan KPM sepatutnya menjunjung prinsip keadilan sewajarnya (due process) dan memastikan hak pelajar untuk meneruskan pendidikan dilindungi.
Dia menekankan bahawa prinsip “tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah” mesti terpakai kepada semua pihak, termasuk pelajar yang dituduh melakukan jenayah, dan keputusan pentadbiran tidak seharusnya dibuat berdasarkan sentimen awam atau dakwaan yang belum disahkan.
Katanya lagi, sekiranya para pelajar berkenaan berdepan prejudis atau kesukaran untuk meneruskan pelajaran di sekolah sama, kementerian perlu bekerjasama dengan ibu bapa atau penjaga mereka bagi mencari penyelesaian alternatif – seperti pertukaran sekolah – tanpa menafikan hak mereka untuk mendapat pendidikan.
“Mengapa perlu ada hukuman sebelum sabitan? Bukan tugas Menteri Pendidikan atau jabatan pendidikan negeri untuk menentukan jikda pelajar yang disyaki itu bersalah atas jenayah yang didakwa dilakukan mereka.
“Bagaimana jika akhirnya mereka didapati tidak bersalah – adakah pelanggaran terhadap hak pendidikan mereka boleh dipulihkan kemudian?
“Tidak. Ketika ini pun, mereka mungkin sudah menanggung prejudis daripada masyarakat,” katanya dalam kenyataan.
Dia turut menggesa media agar melaporkan secara bertanggungjawab dan tidak menambahkan lagi prasangka terhadap remaja terbabit, sambil menegaskan bahawa dakwaan terhadap mereka masih belum dibuktikan dan laporan yang dibuat tergesa-gesa boleh menjejaskan reputasi serta masa depan mereka.
Rogol statutori
Semalam, pemangku Ketua Polis Daerah Baling, Ahmad Salimi Mat Ali berkata empat remaja berusia antara 15 hingga 17 tahun telah ditahan pada Ahad lalu, berhubung satu lagi kes disyaki rogol beramai-ramai selepas seorang lelaki berusia 53 tahun membuat laporan polis apabila dimaklumkan oleh seorang guru tentang video melibatkan anak perempuannya yang tersebar.
Bagaimanapun, Ketua Polis Kedah, Adzli Abu Shah kemudian menjelaskan kes itu diklasifikasikan sebagai kes rogol statutori, dan bukan rogol beramai-ramai.
Katanya, meskipun perbuatan itu dilakukan atas kerelaan kedua-dua pihak, namun mangsa masih bawah umur dan tidak dianggap cukup matang untuk memahami akibat tindakan tersebut.
Justeru, tegasnya, kes tersebut diklasifikasikan sebagai rogol statutori.
Katanya lagi, video yang dirampas daripada telefon suspek tidak menunjukkan mangsa dirogol, namun memaparkan aksi tidak bermoral lain yang turut melibatkannya.
Tambahnya, polis tidak menemui sebarang bukti bahawa video-video itu dijual, sebaliknya hanya dikongsi antara pihak terlibat, termasuk oleh mangsa sendiri.
Kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana rogol dan Seksyen 8 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 berkaitan penyebaran bahan pornografi melibatkan kanak-kanak.






