KUALA PILAH: Seorang lelaki dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun serta satu sebatan di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas kesalahan merompak menggunakan pisau pemotong daging di sebuah rumah didiami seorang warga emas di Jempol, Isnin lalu.
Tertuduh, Mohamad Izwan Zulkafli, 30, membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Hazeelia Muhammad.
Hazeelia dalam penghakimannya berkata, mahkamah tidak boleh memberikan hukuman yang rendah berikutan kesalahan membabitkan senjata pisau pemotong daging serta mangsa merupakan warga emas.
“Setelah menimbangkan segala fakta kes, mahkamah menjatuhkan hukuman tujuh tahun penjara dari tarikh ditangkap dan satu sebatan,” katanya, di sini, hari ini.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didapati telah melakukan rompak dengan bersenjatakan sebilah pisau pemotong daging terhadap seorang warga emas wanita berusia 68 tahun dengan mengambil dua buah telefon bimbit serta sebentuk cincin dan seutas rantai.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 6.45 pagi, di sebuah rumah di Felda Palong 8 di Jempol pada 13 Oktober lalu serta mendatangkan kerugian kepada warga emas berkenaan sebanyak RM1,100.
Oleh itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan.
Sebelum ini media melaporkan perlakuan jenayah lelaki itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dan tertuduh diberkas beberapa jam selepas menyamun rumah warga emas di Felda Palong 8.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Norhisham Mustapar berkata, semasa suspek leka menyelongkar bilik tidur, mangsa melarikan diri melalui pintu belakang bagi meminta bantuan jirannya untuk menghubungi polis serta penduduk kampung.





