Malaysia Oversight

‘Tak boleh diterima’ – Singapura dakwa PAS cuba pengaruh pengundi

By MkiniBM in October 17, 2025 – Reading time 3 minute
'Tak boleh diterima' - Singapura dakwa PAS cuba pengaruh pengundi


Kementerian Ehwal Dalam Negeri Singapura mendakwa bersikap bercanggah dan cuba campur tangan dalam pilihan raya republik itu, selepas parti tersebut mempertahankan kenyataan pemimpinnya yang menyokong calon Parti Pekerja semasa pilihan raya umum tahun ini.

Kementerian itu mendakwa pendirian terbaru – yang menggambarkan kenyataan pemimpinnya sebagai “ulasan rentas sempadan yang biasa” – merupakan perubahan daripada pendirian awal parti itu yang menjarakkan diri daripada kenyataan tersebut.

Dalam kenyataan semalam, kementerian itu berkata pendirian terbaru bercanggah dengan kenyataan yang dibuat pada 28 April lalu, apabila parti itu menyatakan tindakan dua pemimpinnya adalah “pandangan peribadi dan sama sekali tidak mencerminkan dasar rasmi atau pendirian PAS sebagai parti politik.”

Dua hari lalu, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan menegaskan parti itu menolak cubaan “menjadikan parti ini sebagai boogeyman politik demi kepentingan partisan di Singapura.”

“PAS tidak akan membiarkan naratif palsu yang menggambarkan pandangan rentas sempadan sebagai ancaman keselamatan demi keuntungan politik jangka pendek,” katanya.

c2d8f03c256688eb962ef831d7af0627
Takiyuddin Hassan

Menurut Takiyuddin, tindakan melabel pandangan rentas sempadan sebagai “campur tangan asing” hanya akan menyempitkan ruang wacana awam dan menjejaskan kedudukan Singapura sebagai negara terbuka dan berdaya saing.

Namun, Kementerian Ehwal Dalam Negeri Singapura menegaskan jika benar PAS percaya kenyataan mereka tidak boleh mempengaruhi rakyat Singapura, “mengapa mereka mengeluarkan kenyataan itu?”

“Niat PAS jelas untuk mempengaruhi pengundi Singapura. Itu tidak boleh diterima,” katanya.

Memetik kenyataan Menteri Ehwal Dalam Negeri Singapura K Shanmugam di Parlimen, kementerian itu berkata: “Adakah sesiapa benar-benar percaya bahawa PAS menyokong calon Melayu- Parti Pekerja di Singapura kerana PAS mengambil berat terhadap rakyat Singapura?

“Atau bahawa PAS berkongsi model kesamarataan pelbagai kaum dan agama serta meritokrasi seperti yang diamalkan di Singapura?”

Kementerian itu menegaskan bahawa entiti asing tidak boleh cuba mempengaruhi pengundi Singapura, khususnya atas dasar kaum atau agama, kerana tindakan sebegitu “bersifat memecah belah dan tidak boleh diterima.”

“Pihak atau individu asing tiada hak untuk memberitahu rakyat Singapura bagaimana untuk mengundi, apatah lagi berdasarkan garis perkauman atau keagamaan,” katanya.

“Itu mungkin cara politik berfungsi di negara lain, tetapi bukan cara politik dan parti politik disusun dalam masyarakat pelbagai kaum dan agama seperti Singapura.

“Kami mengakui warga asing berhak memberi pandangan terhadap dasar dan politik Singapura — media asing juga berbuat demikian secara berkala. Namun, Singapura tidak akan berdiam diri jika ada pihak asing cuba mempengaruhi rakyat demi kepentingan sendiri, khususnya dengan membangkitkan sentimen perkauman atau agama ketika pilihan raya,” katanya lagi.

64111520c79bb39dac08662ffe930de2

Menurut kenyataan bersama kementerian itu dan Jabatan Pilihan Raya Singapura pada April lalu, pihak berkuasa telah mengenal pasti beberapa individu luar yang cuba mempengaruhi pilihan raya umum 2025 republik itu, dan telah mengarahkan Meta untuk menyekat akses kepada hantaran mereka.

Tiga individu luar yang dinamakan oleh pihak berkuasa Singapura ialah Bendahari PAS Iskandar Abdul Samad, Ketua Pemuda PAS Sukri Omar, serta pengguna Facebook bernama Zulfikar Shariff – bekas warganegara Singapura yang kini menetap di Australia.

Dua pemimpin PAS itu sebelum ini menafikan dakwaan Singapura bahawa mereka cuba mempengaruhi pengundi republik tersebut menjelang pilihan raya.

Takiyuddin dalam kenyataan pada 28 April juga menegaskan hantaran berkenaan adalah pandangan peribadi dan sama sekali tidak mencerminkan dasar atau pendirian rasmi PAS – sama ada berhubung Singapura sebagai negara atau proses pilihan raya yang sedang berlangsung.

Namun, katanya lagi, walaupun PAS menghormati kebimbangan Singapura terhadap isu berkenaan, parti itu percaya reaksi republik tersebut “agak berlebihan dan bersifat sepihak”, memandangkan hubungan baik yang telah terjalin antara PAS dan Singapura.



Source link